Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kembali menjadi sorotan ramai selepas memuat naik satu rakaman video di akaun media sosial miliknya.
Syed Saddiq terlihat mengenakan pakaian doktor dalam video itu sambil memegang seorang bayi sebelum menyerahkannya kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.
Rupa-rupanya, ahli politik terbabit membuat penampilan sulungnya sebagai pelakon dengan menjadi ‘cameo’ di dalam salah satu babak muzik video lagu baharu Bella.
Babak muzik video yang bertajuk Tapi bukan denganmu itu turut dikongsi oleh Syed Saddiq menerusi hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.
“Mama dahulu nak saya jadi doktor. Tak dapat jadi doktor, cameo sebagai doktor dalam lagu Bella Astillah pun bolehlah,” katanya dalam ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Dalam perkongsian tersebut, Syed Saddiq yang juga merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut mengucapkan tahniah kepada Bella di atas pelancaran lagu baharunya.
“Tahniah Bella di atas pelancaran lagu baharu awak, ‘Tapi bukan denganmu. Awak memang betul-betul rendah hati, berbakat dan hebat! Saya nampak kayu dan kaku. Baik kekal di parlimen sahaja,” ujarnya.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna mengalu-alukan kedatangan Saddiq ke dalam industri seni selain mengelarkannya sebagai seorang yang versatil.
Ramai juga pengguna meninggalkan komen yang mencuit hati dengan mengatakan penampilan ahli politik itu telah menghilangkan ‘feel’ sedih penonton muzik video berkenaan.
Sebelum ini, Bella pernah diusik oleh para peminat mengenai jodohnya dengan Syed Saddiq selepas hadir ke rumah terbuka ahli politik berkenaan pada Aidilfitri yang lalu.
Bella bagaimanapun menjelaskan bahawa dia dan Saddiq merupakan sahabat baik selain sering juga melakukan aktiviti rekreasi bersama seperti bermain badminton.
Baca juga: Kekasih tak tepati janji untuk kahwin, wanita mohon keluar Islam, mahu kembali kepada agama asal