Tertekan fikirkan nasib anak di Gaza, wanita Palestin mengamuk di WTKL mohon maaf

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita warga Palestin yang sebelum ini tular ekoran terlibat di dalam insiden kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) tampil membuat permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia.

Menerusi satu hantaran dikongsikan di platform TikTok, wanita yang dikenali sebagai Aminah Muhammad Nafi Jamal Abd Rabah itu mengakui dirinya menyesali tindakan dan kekasaran dilakukannya baru-baru ini.

Jelas Aminah, perbuatan di luar kawalan itu berpunca dari rasa tertekan memikirkan nasib anaknya yang masih berada di Gaza memandangkan sudah seminggu tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.

“Saya minta maaf dan sangat menyesali apa yang saya lakukan. Saya bersumpah kepada Allah SWT bahawa tindakan itu tidak buat dengan sengaja. Kami sedang melalui situasi dan keadaan sangat sulit yang hanya Allah tahu.

“Saya adalah ibu kepada tiga anak syuhada (anak syahid). Sudah seminggu saya tidak boleh hubungi anak-anak (yang masih berada di Gaza). Tiada komunikasi dan saya tidak dapat tahu apa-apa mengenai mereka di sana, demi Allah,” katanya.

Menyifatkan rakyat Malaysia sebagai orang yang baik, murah hati dan menghormati satu sama lain, Aminah turut berterima kasih kerana masyarakat telah menerima dan memberikan layan baik kepada warga Palestin.

@tahreergh

Dengan segala hormat kepada ATM dan semua pihak yang terlibat dalam kes perempuan Palestin yang menjadi viral 2 hari yang lepas di Wisma Putra Malaysia.. saya nak kongsi video perempuan yang sama tapi kali ni content video dia lain sangat dari video yg viral tu .. Rasulullah SAW bersabda: كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ. Maksud hadis ini adalah: Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat. Hadis riwayat Al-Tirmizi. Ujian besar buat manusia adalah keupayaan untuk memaafkan orang yang membuat salah kepada beliau .. semoga Allah memberi keupayaan ini kepada kami semua.. Walau menjadi apa2 pon, kami rakyat Palestin tetap sayang Malaysia dan rakyat Malaysia.. ikhlas dari hati tahu 🥹🇲🇾🇵🇸 TahreerGh Gh

♬ original sound – TahreerGh – TahreerGh

Dalam pada itu, Aminah menerusi rakaman berdurasi satu minit 19 saat berkenaan dengan rendah hati berharap agar permohonan maafnya dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Saya berterima kasih kerana telah menerima dan melayan kami dengan baik. Saya bersumpah dengan nama ALLAH SWT, kami mendapat apa yang terbaik. Apa yang saya cakap ini ikhlas dari hati saya.

“Kamu melayan kami (rakyat Palestin) dengan segala kebaikan, rasa hormat dan penghargaan. Kamu sudah melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab, tetapi kamilah yang melakukan kesalahan terhadap anda (rakyat Malaysia).

“Saya bersumpah dengan nama ALLAH SWT dan sekali lagi memohon maaf kepada anda atas apa saya lakukan dengan penuh penyesalan yang besar,” pintanya dalam rakaman tersebut.

Wanita berkenaan adalah antara 127 rakyat Palestin yang dibawa masuk ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan atas kecederaan diakibatkan peperangan dengan rejim Zionis.

Terdahulu, tular video memaparkan kekecohan dilakukan sekumpulan rakyat Palestin di mana ada antara mereka bertindak kasar dengan membaling selipar ke arah salah seorang pegawai penguat kuasa.

Mereka juga bertindak merosakkan harta benda di premis terbabit dipercayai berpunca daripada rasa kesal ekoran tidak mendapat keizinan pihak berkuasa untuk menginap di luar WTKL.

Susulan penularan rakaman berkenaan, Walid Abu Walid selaku Duta Palestin di Malaysia tampil memohon maaf berhubung insiden kekecohan tersebut.

Baca juga: Rakyat Malaysia terpaksa tinggalkan suami, bawa anak keluar dari Lubnan demi keselamatan