Jagung adalah sejenis tanaman bijirin yang cukup diminati oleh segenap masyarakat di negara ini tanpa mengira bangsa, umur mahupun generasi.
Tanaman ini juga mengandungi pelbagai khasiat seperti serat, beta karoten, vitamin A, vitamin B, vitamin C, vitamin E, vitamin K, folat dan mineral termasuklah mangan, magnesium, zat besi dan banyak lagi.
Mempunyai rasa lemak manis, cara penyediaannya yang tidak rumit selain mudah untuk didapati di pasaran tempatan membuatkan tanaman ini menjadi pilihan seisi keluarga.
Walau kaedah penyediaan untuk dihidangkan mudah sahaja, namun tahukah anda terdapat petua tertentu yang boleh diikuti termasuk cara merebus jagung agar dapat menikmatinya dengan lebih enak.
Berikut kami kongsikan petua merebus jagung untuk memastikan hidangan itu tidak mengecut dan terasa manis ketika dihidangkan berdasarkan perkongsian kumpulan Facebook, Rencah Rasa Plus.
PETUA MEREBUS JAGUNG:
1. Jangan tambahkan garam ketika merebus kerana ia akan mengeraskan isi jagung. Sebaliknya, taburkan sedikit garam halus selepas tanaman tersebut selesai direbus.
2. Semasa merebus jagung, tambahkan sedikit gula dalam air rebusan. Langkah ini akan membuatkan hidangan terasa lebih enak dan tentunya manis ketika dinikmati.
3. Tanaman yang segar tidak boleh dibiarkan di luar kerana ia akan menghilangkan kemanisan semua jadinya. Sebaliknya, terus simpan jagung itu ke dalam peti sejuk. Kulit yang hijau menandakan tanaman itu masih segar.
4. Cara merebus: Didihkan air terlebih dahulu sebelum masukkan jagung yang telah dikupas kulitnya. Apabila air mendidih semula, kecilkan api dan rebus dalam keadaan reneh dalam lima hingga ke 10 minit.
5. Selepas jagung masak, bolehlah sapukan sedikit mentega. Anda juga boleh menaburkan sedikit garam dan serbuk lada putih sebelum dihidangkan.
Baca juga: Epal cepat lebam lepas dipotong? Cuba tip ini, buah jadi cantik untuk dihidang