Melawan hukum nasi lemak RM1! Wanita terkejut peniaga jual bersama lauk ikan dengan harga murah

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka masih wujud peniaga yang tidak mengutamakan keuntungan dengan menjual nasi lemak daun pisang dalam harga begitu murah.

Lebih mengejutkan, pelanggan yang membeli nasi lemak itu juga dapat menikmati hidangan sarapan pagi berkenaan bersama lauk pilihan termasuklah ikan goreng.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, wanita terbabit memaklumkan bahawa hidangan yang berharga RM1 itu dibelinya di sebuah gerai terletak di Benut, Pontian, Johor.

Rakaman berdurasi 31 saat itu dimulakan dengan paparan satu bungkusan nasi bersama air minuman turut dijual dengan harga RM1 yang telah dibeli oleh wanita terbabit.

Namun alangkah terkejutnya wanita itu sebaik mendapati nasi lemak berkenaan bukan sahaja dilengkapi dengan sambal dan beberapa biji kacang malah turut dibungkus dengan lauk ikan.

“Kamu semua tengok nasi lemak RM 1 dengan minuman RM1. Nampak tak, siap ada lauk ikan lagi. Tengok dengan keadaan zaman sekarang ini, tahun 2024 nasi lemak RM1.

“Siap dengan ikan, kacang dan sambal. RM1!,” kata wanita berkenaan memperlihatkan pembeliannya itu di dalam rakaman yang dimuat naik di akaun TikTok, @maizah888.

Tular di media sosial, tinjuan di ruangan komen hantaran berkenaan mendapati rata-rata pengguna TikTok memuji tindakan peniaga yang disifatkan ‘melawan hukum’ nasi lemak RM1.

Ramai juga pengguna turut berkongsikan pengalaman mereka membeli nasi lemak dengan harga sama namun kecewa dengan kuantiti hidangan yang selalunya dibungkus bersama ‘telur simkad’ itu.

Peniaga yang bertimbang rasa itu juga dihujani dengan kiriman doa daripada pengguna TikTok dengan harapan perniagaannya berjaya dan dimurahkan rezeki oleh Illahi.

Baca juga: Pernah hidup susah, Atikah Suhaime tak sangka nasi goreng ikan bilis versi ibunya jadi kegemaran mentua