Jika dilihat, banyak umat Islam dari seluruh dunia yang berhajat untuk tinggal di Madinah atau Mekah satu hari nanti.
Kehidupan yang tumpuannya adalah kepada akhirat dan bukan duniawi semata pasti menjadi pilihan ramai.
Buat penyanyi Syahir, dia kini menyimpan hasrat untuk pindah dan menetap di Madinah atau Mekah untuk mendekatkan diri dengan Allah.
Dedahnya, dia dan isterinya Jaskin Jaludin, pernah berhijrah sekitar dua bulan lebih di Madinah pada tahun lalu lapor Kosmo! Online.
Tetapi disebabkan beberapa faktor ditambah dengan tahap kesihatan bapanya yang kurang mengizinkan, maka dia pulang semula ke Malaysia.
“Kami sudah berpindah dan ada rumah di sana. Ketika itu saya berulang-alik antara Madinah dan Malaysia selama dua bulan.
“Memang sudah lama saya bercita-cita untuk tinggal di sana. Bukan sebab ingin buka bisnes tetapi saya memang hendak tinggal di tanah haram.
“Tetapi kalau sudah tinggal di sana saya perlu berniaga untuk menyara kehidupan, tidak mungkin mahu duduk saja tanpa buat apa-apa,” ujarnya seperti dipetik Kosmo! Online.
Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu memaklumkan di kala usia sudah menjengah 36 tahun, tumpuannya bukan pada duniawi tetapi mahu mengutamakan perjalanan rohani.
“Saya masih menyimpan hasrat untuk tinggal di sana pada masa depan. Bukan hendak kata saya baik, tetapi saya mahu cuci hati.
“Dalam kehidupan ini kadang-kadang kita terlampau bergantung harap pada orang. Sebab itu semasa pindah di sana, saya langsung tidak membuat sebarang perancangan.
“Saya hendak bergantung sepenuhnya pada Allah. Tetapi kita manusia, perancangan Allah itu lebih baik. Bukan sekarang mungkin pada masa depan,” kata Shahir.
Baca juga: Beg tangan Fazura semasa hadir prosiding cerai berharga RM50k?