“Netizen tuduh saya penyondol, sedangkan hubungan saya dengan madu baik” – Zarina

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang untuk wanita menerima perempuan lain sebagai madu namun jika suami itu layak dan adil maka itu tidak menjadi masalah.

Ditambah zaman sekarang, banyak lelaki memilih poligami sedangkan nafkah diabai, tidak mampu daripada segi kewangan.

Buat pelakon Zarina Zainuddin, dia menasihatkan wanita yang berstatus isteri kedua agar pandai bawa diri.

Menerusi satu podcast bersama stesen radio Sinar, pelakon berusia 53 tahun ini memaklumkan suami main peranan penting untuk pastikan kesemua isteri berbaik.

“Sebenarnya jadi isteri nombor dua ini perlu pandai bawa diri, pasti orang akan sayang dan hargai.

“Tetapi kalau tidak tahu bawa diri dan fikir diri sendiri sahaja, pasti orang akan marah.

“Kena susah senang sama-sama. Hargai keluarga itu perkara penting,” katanya dalam temu bual podcast bersama Sinar.

Jelasnya, kesungguhan suami untuk menghalalkan dia menjadi punca dia bersetuju untuk berkahwin dengan Datuk Seri Raihan Wan Jaafar.

Pada masa sama dia mengakui rasa bersalah kerana sebagai orang ketika namun nekad bertemu dengan madunya yang memberikan syarat kepadanya.

Dia juga mengakui rasa bersalah turut menyelubungi dirinya kerana enggan memporak-perandakan rumah tangga orang lain.

“Isteri dia (madunya sekarang) tanya saya kenapa pilih suami saya? Adakah sebab memiliki rumah dan kereta besar?

“Saya balas, saya pernah jumpa orang lebih kaya tetapi belum lagi bertemu dengan individu yang ada jiwa besar yang sudi ambil saya sebagai isteri.

“Madu saya izinkan berkahwin tetapi dengan syarat perlu menjaga maruahnya dan keluarga.

“Sebab itu saya tidak terlalu menonjolkan kisah keluarga kepada umum sebab sedar saya pun menumpang kasih sayang orang,” jelasnya

Dalam pada itu dia memaklumkan masih ada netizen yang melebih mengata dia penyondol sedangkan hubungan dia dengan madunya baik sahaja.

“Kadang-kadang netizen yang lebih-lebih dan cakap saya penyondol dan jahat.

“Sedangkan hubungan kami baik, dia pun banyak menegur saya bila saya lakukan kesilapan, semuanya bersama-sama dan sudah kenal hati budi masing-masing,” tambahnya.

Baca juga: Perkahwinan tidak dapat restu Rosmah, netizen bongkar kisah Fazley dan Azrene selepas cerai