Gara-gara tidak membalas mesej ‘Good Morning Sayang’, seorang penjaga stor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini di atas pertuduhan mencederakan teman wanitanya pada Khamis lalu.
Tertuduh, Muhamad Nurhaqimi Harun yang berumur 20 tahun itu kemudian membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Berdasarkan fakta kes, kejadian tersebut berlaku pada 10 Oktober lalu ketika teman wanita tertuduh menghantar makanan tengah hari di tempat kerjanya di sebuah kedai haiwan peliharaan.
Siasatan polis mendapati perang mulut berlaku antara mangsa dan tertuduh ketika kejadian kerana wanita itu tidak berpuas hati mesej ‘good morning sayang‘ dihantar melalui Whatsapp, tidak dibalas.
Walau bagaimanapun, suasana malah bertukar menjadi tegang apabila tertuduh naik berang lalu menampar pipi kiri mangsa hingga menyebabkan wanita itu mengalami cedera ringan.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan teman wanitanya yang juga berusia 20 tahun di sebuah kedai haiwan peliharaan di Jalan Parit Bilal, Batu Pahat pada 10 Oktober lalu, sekitar jam 12.15 tengah hari.
Oleh yang demikian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh pula diwakili peguam iaitu Mohd Razak Shariff.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan daripada kedua-dua belah pihak, mahkamah lalu menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM800 terhadap tertuduh.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh untuk dihukum penjara selama 14 hari sekiranya gagal membuat bayaran denda yang telah ditetapkan ke atasnya itu.
Baca juga: Operasi setiap hari, peniaga kecewa ada orang iri hati, kedai buka tapi semua nampak tutup