Gara-gara ditegur kerana bermain mercun, seorang wanita bertindak mencederakan jirannya sendiri dengan menumbuk hidung individu berkenaan dalam kejadian yang berlaku pada April lalu.
Akibat dari tindakan tersebut, wanita yang bakal bergelar pengantin itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor hari ini di atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah.
Berdasarkan fakta kes, kejadian itu berlaku pada 10 April lalu sekitar jam 8.30 malam di mana mangsa berada di rumahnya sebelum terdengar jirannya iaitu tertuduh bermain mercun.
Mangsa kemudian keluar dari rumahnya untuk menegur perbuatan itu namun dimarahi oleh abang ipar tertuduh sehingga tercetusnya perang mulut antara mereka, lapor Berita Harian.
Sejurus itu, keluarga mangsa memutuskan untuk datang ke rumah tertuduh bagi menyelesaikan masalah tersebut namun wanita berkenaan malah bertindak menumbuk hidung jirannya.
Mangsa yang difahamkan telah mengalami kecederaan akibat dari insiden itu tampil membuat laporan di Balai Polis Rengit pada malam kejadian selepas mendapatkan rawatan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh iaitu Nadira Mohd Yusoff didakwa melakukan kekerasan jenayah ke atas mangsa berusia 25 tahun di sebuah rumah di Rengit, Batu Pahat pada jam 9 malam, 10 April lalu.
Oleh yang demikian, tertuduh berusia 24 tahun terbabit didakwa mengikut Seksyen 358 Kanun Keseksaan di mana pelaku boleh dipenjara selama sebulan atau denda RM400 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya, tertuduh yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada bulan Disember itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala Nadira yang juga merupakan operator kilang itu diwakili peguam iaitu Mohd Razak Shariff.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM400 selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima hari jika gagal membuat bayaran.