Chef terkenal Korea terkejut pertama kali nikmati nasi kandar Malaysia

Oleh KIM SYAZIE

Chef selebriti Korea, Baek Jong Won mencuri tumpuan rakyat negara ini selepas rakaman dia menikmati nasi kandar di Pulau Pinang tular.

Video chef tersebut yang berkunjung ke salah sebuah restoran nasi kandar popular di Georgetown disiarkan menerusi stesen televisyen negara berkenaan iaitu TVN Asia.

Ia adalah rancangan jalan-jalan cari makan oleh Baek dengan mencari makanan jalanan yang lazat untuk program ‘Street Food Fighter’.

Baek memuji hidangan nasi kandar di negara ini yang diakuinya sangat lain berbanding Korea, terutama pada rasa kari yang kuat.

“Ini sedap. Ia sempurna untuk mereka yang sukakan kari. Ini kari yang sedap. Kari ayam tak seperti kari yang biasanya.

“Pekerja mencampurkan pelbagai jenis kari atas nasi saya, saya sangat seronok.

“Tadi apabila mereka mencurahkan kuah atas nasi, saya rasa seperti terlalu banyak. Namun sebenarnya tidak. Saya patut minta kuah lagi,” katanya.

Difahamkan video itu adalah video lama di mana rancangan tersebut disiarkan sekitar lima tahun lalu pada 2019.

Namun ia kembali tular dan menjadi perhatian pengguna media sosial selepas baru-baru ini seorang masterchef Indonesia mendakwa nasi kandar Malaysia terasa berpasir.

Pun begitu ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan masterchef tersebut.

Beberapa selebriti Indonesia sendiri mengakui amat meminati nasi kandar Malaysia.

Sementara itu, video Baek menjadi perhatian ramai dengan rata-rata memuijinya kerana tidak menghina makanan negara orang lain.

Baca juga: Infak jualan kambing perap Fattah Amin sudah diedarkan, ini golongan yang terima manfaat