Anwar Ibrahim, atau nama penuhnya Anwar Bin Ibrahim dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Cherok To’ Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Beliau adalah tokoh politik dan pembaru yang berfikrah sederhana.
Beliau pernah berkhidmat di dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad dan diamanahkan memegang pelbagai kementerian, dan pernah memangku jawatan Perdana Menteri, hingga dipecat pada 2 September 1998 atas beberapa tuduhan yang meragukan.
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ditubuhkan pada 1999 untuk mewujudkan negara yang adil, berwibawa dan hormat pemisahan kuasa. Selepas dibebas pada 2004, beliau lantas memulakan kempen reformasi dan pembaharuan, dan memainkan peranan penting dalam menekankan soal pemisahan kuasa. Walaubagaimanapun, beliau sekali lagi didakwa pada tahun 2014 dan dipenjarakan.
Anwar dilahirkan dalam keluarga orang politik, di mana kedua ibu dan bapanya adalah tokoh besar dalam UMNO, dan itu sedikit sebanyak mempengaruhinya untuk menceburi politik pada lewat 60an dengan mengetuai gerakan pelajar di Universiti Malaya.
Sejurus itu pada 1971, beliau menggagaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan memegang jawatan Presiden hingga 1982. Beliau juga terlibat dengan demonstrasi pelajar membela penoreh getah di Baling pada tahun 1974.
Meski kerap mengkritik dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional-UMNO, Anwar akhirnya menerima pelawaan Dr Mahathir untuk menyertai UMNO dan kerajaan. Kemaraan Anwar begitu pantas, menjawat Menteri Budaya, Belia dan Sukan (1983), Pertanian (1984), Pelajaran (1986-1991) dan kemudian dilantik memegang jawatan Menteri Kewangan (1991-1998) dan Timbalan Perdana Menteri (1993-1998).
Malaysia bergerak maju di bawah naungannya dengan belanjawan lebihan (‘budget surplus’) untuk beberapa tahun. Malaysia juga menikmati era kemakmuran dan pertumbuhan yang belum pernah terjadi sebelumnya sehingga memungkinkan majalah kewangan terkemuka Euromoney menamakannya ‘Top Four Finance Minister’ dan pada tahun 1996 majalah Asiamoney pula menganugerahkannya ‘Finance Minister Of The Year’.
Saat Malaysia dibadai Krisis Kewangan Asia 97-98, Anwar yang ketika itu di Kementerian Kewangan menganjurkan langkah penjimatan dan menolak sebarang langkah bantuan kerajaan (bailout) menyelamatkan syarikat-syarikat yang mengalami masalah kewangan akibat krisis itu. Langkah ini ternyata membuahkan hasil dan memulihkan situasi ekonomi negara sehingga memungkinkan beliau untuk menerima beberapa pengiktirafan, antaranya ‘Asian of the Year’ oleh majalah Newsweek International.
Namun langkah dan tindakannya itu tidak disenangi Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya. Anwar akhirnya disingkirkan dari kerajaan dan parti (UMNO) pada 2 September 1998 dan dipenjarakan pada 1999. Beliau dimalukan dan diaibkan, termasuk keluarganya. Perbicaraan dan pemenjaraannya itu mengundang kecaman dari warga antarabangsa yang menyifatkan pendakwaannya sebagai ‘politically motivated’ atas tuduhan-tuduhan yang ‘dubious’.
Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri pada 2003 dan Abdullah Ahmad Badawi menggantikannya. Anwar kemudian dibebaskan pada tahun 2004 apabila Mahkamah Tinggi mendapati tiada bukti pendakwaan ke atasnya.
Sejurus dibebaskan, Anwar dijemput untuk menjadi pensyarah undangan meliputi subjek di St. Anthony’s College di Universiti Oxford, School of Foreign Service di Universiti Georgetown di Washington, D.C, dan School of Advanced International Studies di Universiti John Hopkins di Maryland. Anwar kemudian dilantik menjadi Honorary President untuk AccountAbility dan Pengerusi Foundation for the Future.
Pada tahun 2007, kerajaan Malaysia pimpinan Abdullah Ahmad Badawi dirundung pelbagai skandal melibatkan ekonomi dan pentadbiran. Dalam PRU12 pada tahun berikutnya, pakatan pembangkang ketika itu mencipta sejarah apabila berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor, di samping mengekalkan kerajaan negeri di Kelantan, dan memenangi lebih 80 kerusi Parlimen. Dan juga untuk pertama kali dalam sejarah politik Malaysia, Barisan Nasional berjaya dinafikan ‘supermajority’ di Parlimen oleh gabungan PAS-KEADILAN-DAP.
Sejurus itu, Anwar, Lim Kit Siang dan Abdul Hadi Awang berpakat dan menubuhkan Pakatan Rakyat sebagai wadah baru menghadapi Barisan Nasional. Timbul desakan supaya Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan atas prestasi Barisan Nasional yang cukup buruk dalam PRU12. Anwar kembali ke Parlimen melalui pilihanraya kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008 meski berdepan fitnah yang hampir sama, dan dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Abdullah Ahmad Badawi akur kepada desakan untuk berundur dan Najib Razak menggantikan Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2009.
Anwar akhirnya dibebaskan pada tahun 2012 oleh Mahkamah Tinggi. Ketika PRU13, Barisan Nasional sekali lagi dinafikan majoriti 2/3 di Parlimen, dan Pakatan Rakyat mengekalkan kerajaan negeri di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan kehilangan Kedah.
Namun, kedudukan Pakatan Rakyat di Parlimen bertambah 9 kerusi. Ketika pilihanraya kecil di Kajang, Anwar disebut-sebut sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid Ibrahim. Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau pada 2012 mengukuhkan pendakwaan ke atasnya dan beliau dipenjarakan pada tahun 2015 untuk lima tahun. Anwar menafikan sekeras-kerasnya fitnah ke atas beliau sebagai ‘konspirasi politik’ dan cubaan untuk menggagalkan kemaraannya.
Ketika skandal Najib Razak melibatkan 1MDB semakin meruncing lewat 2016, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk bersama Pakatan Harapan dengan menubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan berjanji akan mengusulkan Pengampunan Diraja untuk membebaskan Anwar sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
Beliau juga berjanji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam masa tidak kurang dari 2 tahun. Pada PRU14, Pakatan Harapan berjaya mengalahkan Barisan Nasional dengan kesemua calon-calon komponen Pakatan Harapan dari BERSATU, AMANAH dan DAP menggunakan logo KEADILAN untuk semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ternyata formula yang sangat berjaya dan Pakatan Harapan berjaya menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan sambil mengekalkan kerajaan Pulau Pinang dan Selangor, menubuhkan kerajaan negeri di Perak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.
Seperti yang dijanjikan, Anwar dibebaskan melalui Pengampunan Diraja dan diperkenan Agong Sultan Muhammad V atas alasan wujud ‘travesty of justice’ dalam pemenjaraan Anwar. Pada September 2018, Anwar kembali ke Parlimen apabila memenangi pilihanraya kecil di Port Dickson, Negeri Sembilan, dengan majoriti yang cukup besar berbanding keputusan PRU14.
Sumber: Biografi – Laman web rasmi Anwar Ibrahim
baca: Gara-gara tersalah pilih warna tudung, wanita ‘murung’ tengok hasil gambar pasport