Kenderaan Singapura kini tak boleh keluar dari Malaysia selagi tak bayar saman trafik?

Oleh KIM SYAZIE

Satu hantaran di laman Facebook ROADS.sg mendapat perhatian masyarakat negara ini selepas sebuah kenderaan Singapura yang mahu keluar dari Malaysia, dikesan mempunyai saman trafik yang tidak berbayar.

Menerusi hantaran tersebut, kenderaan itu difahamkan sedang melalui pusat pemeriksaan Johor Bahru atau Link Kedua Malaysia-Singapura.

Ketika melalui pusat pemeriksaan tersebut, papan kenyataan LED sistem secara automatik memaparkan bahawa pemilik kenderaan mempunyai saman PDRM yang tertunggak.

Untuk pengetahuan, setiap kenderaan asing dari Singapura diwajibkan untuk mempunyai Permit Kemasukan Kenderaan Motor Asing (VEP) mulai 1 Oktober 2024.

Peraturan ini ditetapkan bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi segala peraturan jalan raya ketika berada di Malaysia.

Mereka perlu mempunyai VEP-RFID tag yangberfungsi seperti TNG-RFID iaitu pelawat perlu mendaftarkannya ke dalam TNG eWallet dan tag tersebut juga akan digunakan untuk pembayaran Road Charge (RC). RC dikenakan sebanyak RM20 setiap kali kenderaan asing masuki Semenanjung Malaysia.

Kenderaan yang mempunyai VEP-RFID dengan mudah dapat dikesan jika mempunyai saman tertunggak dari negara ini.

Pemilik kenderaan dikehendaki menjelaskan denda sebelum dibenarkan melalui pusat pemeriksaan dan keluar dari negara ini.

Perkongsian itu secara tidak langsung telah meraih reaksi positif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Mereka beranggapan ia adalah adil kerana mana-mana kenderaan Malaysia yang mahu keluar dari Singapura juga perlu menjelaskan denda sebelum dibolehkan meninggalkan republik itu.

Tambahan, mereka percaya pelaksanaan sistem baharu di Malaysia ini boleh mengekang pemandu Singapura yang culas menjelaskan denda dan saman setelah melakukan kesalahan.

“Bagus. Ini adalah masa untuk mereka yang sombong dan melarikan diri dari membayar denda di Malaysia supaya membayar balik atau lebih teruk ditangkap serta-merta,” kata Alvin.

Baca juga: Sejarah Anwar Ibrahim yang ramai anak muda tak tahu