Imam terkejut jenazah warga emas diringi geng mat moto, terharu dengar penjelasan keluarga

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengurus pusara bergelar Imam berjaya mencuri perhatian ramai selepas berkongsi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika menguruskan pengebumian jenazah warga emas.

Berkongsi pengalamannya dalam satu sesi audio siar atau ‘podcast’ bersama Langka Studio, Imam itu memberitahu bahawa pengebumian jenazah berkenaan dilakukan pada waktu malam.

Namun para petugas tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan ‘mat moto’ yang berduyun-duyun mengiringi jenazah itu masuk ke dalam pusara dipercayai terletak di Skudai, Johor.

“Jenazah dikebumikan pada sebelah malam. Sewaktu itu, saya dan rakan setugas yang lain sudah menyiapkan liang lahad. Tiba-tiba kita nampak van jenazah lalu memasuki kawasan tanah perkuburan diikuti dengan budak-budak motor.

“Mula-mula saya fikir budak-budak yang bawa motosikal kapcai ini mungkin takut hendak memotong van jenazah. Rupa-rupanya budak itu masuk ke dalam kawasan kubur bersama van tersebut.

“Dengan tukang gali liang lahad sekali turut merasa pelik bertanya sekiranya jenazah tersebut adalah orang muda sedangkan usianya sudah lebih 70-an,” kata Imam Abdul Aziz dalam perkongsian itu.

Persoalan mengenai kehadiran sekumpulan remaja bermotorsikal itu akhirnya terjawab apabila Imam Abdul Aziz mengambil keputusan untuk bertanyakan perkara sebenar kepada waris jenazah.

Tular di media sosial, sedutan rakaman memaparkan perkongsian Imam Abdul Aziz yang juga merupakan Eksekutif Jabatan Syariah dan Dakwah Waqaf An-Nur itu turut dimuat naik di platform TikTok.

“Selepas ditanya, anak arwah beritahu bahawa bapanya sering menyantuni mereka yang hadir ke pusara tersebut sejak kanak-kanak dengan mengajak untuk ke surau dan belanja makan.

“Tidaklah terlalu mahal, tetapi sekadar makanan ringan seperti jajan dan sebagainya. Jadi arwah melayan budak-budak ini sehingga remaja dan dewasa. Generasi kanak-kanak tersebut bersilih-ganti.

“Hubungan mereka itu sangat akrab, sampai arwah boleh dianggap sebagai ayah kedua mereka apabila di surau. Oleh sebab itulah mereka sangat tersentuh dengan pemergian arwah.” Jelasnya dalam perkongsian itu.

Baca juga: “Aku mati-mati ingat isteri aku terpaling solehah, sekali dia mengaku tidur dengan lelaki lain…’