Dari muda hinggalah mempunyai dua anak, kelunakan suara penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak akan dipertikai.
Malah SIti atau lebih mesra dipanggil TokTi mempunyai banyak anugerah dan pencapaian yang menaikkan nama negara di persada dunia.
Kini Siti dianugerahkan sebagai Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 13 Novermber 2024.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh pengurusnya Rozi Abdul Razak dan kemudian disahkan sendiri oleh Siti dalam kenyataan media yang dimuat naik di Instagram.
“Pertama sekali, dengan penuh keinsafan dan rendah diri, saya ingin menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.
“Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah ini.
“Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanahair.
“Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman,” ujarnya dalam kenyataan media.
Seni menyatukan semua
Pada masa sama Siti meluahkan rasa syukur kerana dengan bakatnya dalam dunia seni, dia mampu beri inspirasi kepada anak muda.
“Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.
“Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.
“Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara,” tambahnya.
Arwah ayah ibaratkan Siti seperti bunga melur
Dalam pada itu, SIti berkongsi ada bait-bait kata arwah ayahnya, Tarudin Ismail yang masih tersimpan rapi dalam hatinya.
“Dalam meraikan detik paling manis dan bermakna ini, ingatan saya tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata ayah saya, Allahyarham Haji Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan saya seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah.
“Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana… “Walau kering tak bercahaya bunga melur… “Baumu memikat jiwa…”
“Saya sentiasa mengingatkan diri, setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya yang kini sudah mencecah 29 tahun ini,” tambahnya.
Baca juga: Yusof Haslam bersyukur Syamsul makin akrab dengan ibu tak macam dulu
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio