Baru-baru ini tular satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di laman Facebook memaparkan ‘peperangan’ mulut melibatkan pemilik Toyota Vellfire dan seorang lagi pemandu di sebuah jalan raya dipercayai di Malaysia.
Berdasarkan rakaman itu, insiden salah faham berkenaan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu Vellfire yang menukar lorong secara tiba-tiba untuk masuk ke laluan digunakan oleh pemilik dashcam.
Tindakan itu telah mendorong pemilik dashcam untuk membunyikan hon mungkin kerana rasa terkejut apabila kenderaan Toyota Vellfire tersebut berada di hadapan selepas memotong kereta miliknya secara tiba-tiba.
Selepas hon dibunyikan, pemandu Vellfire itu mengambil keputusan mendadak untuk memberhentikan kenderaan miliknya di tengah jalan raya dan segera turun untuk berhadapan dengan pemilik dashcam berkenaan.
Ketika pemandu Vellfire tersebut bersemuka dengannya, pemilik dashcam iaitu seorang wanita dengan tenang menegurnya bahawa tindakan memotong lorong secara tiba-tiba adalah sangat berbahaya.
Namun pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah itu malah tidak berpuas hati dan mengatakan, ‘Adakah ia (memotong laluan) terlalu mengejut? Jangan lebih-lebih. Jangan tipu saya. Saya ada banyak kereta (Vellfire) ini’.
Pemilik Vellfire berkenaan kemudian beredar menuju ke kenderaan miliknya sambil menegaskan bahawa dirinya mempunyai banyak lagi kereta selain yang dipandunya ketika kejadian,
Rupa-rupanya, pemandu berkenaan masih tidak berpuas hati dan kembali mendekati kereta pemilik dashcam dan meminta wanita itu untuk melanggar sahaja kenderaan mewah miliknya.
“Anda boleh tekan minyak dan langgar (kenderaan saya) sekarang. Kemudian saya akan hadiahkan insurans yang saya perolehi nanti kepada anda. Kenapa? Sebab saya adalah seseorang yang memiliki banyak wang,” kata pemilik Vellfire itu.
Tidak berdiam diri, pemilik dashcam terbabit kemudian bertanya kepada pemandu Vellfire berkenaan bagaimana jika kereta miliknya rosak memandangkan dia tidak mempunyai kenderaan lain untuk dipandu.
“Itu masalah awaklah. Kalau nak, saya boleh berikan awak satu kereta saya di rumah,” jawab pemandu Vellfire terbabit sebelum kembali ke kenderaan miliknya untuk meneruskan perjalanan.
Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati tindakan pemilik MPV terbabit menayang kekayaannya menyebabkan rata-rata pengguna Facebook meninggalkan komen mencuit hati.
”Betul ke awak sangat kaya? Sangat memalukan sebab awak masih memandu kereta Vellfire model lama,” kata seorang pengguna.
“Cepat kongsi maklumat ini kepada para perompak. Lelaki ini sangat kaya.” Kongsi pengguna lain dalam nada berseloroh.
Baca juga: Beri rating 1 star sebab kurier hantar barang lambat sehari, penjual ‘sekolahkan’ pembeli
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio