Pelakon dan pengacara, Datuk AC Mizal akhirnya tampil menjawab tuduhan bahawa syarikat stesen televisyen miliknya gagal membayar tiga bulan gaji kepada bekas pekerjanya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Datuk AC Mizal selaku pengasas dan pengerusi saluran televisyen terestrial digital swasta percuma iaitu Suke TV itu menyifatkan dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikatnya adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.
Menerusi kenyataan dimuat naik di platform Instagram, pemilik nama sebenar Mizal Zaini itu menjelaskan bahawa dakwaan yang tidak berasas tersebut dibuat oleh bekas pekerja syarikat yang telah ditamatkan perkhidmatan.
“Kenyataan dan cerita yang tular tentang kegagalan SUKETV membayar gaji tiga bulan kepada individu-individu tersebut di media sosial adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.
“Cuma yang saya nak nyatakan, kenyataan-kenyataan fitnah tersebut disebarkan oleh beberapa bekas pekerja yang antaranya telah ditamatkan perkhidmatan mereka oleh syarikat.
“Hal ini kerana (mereka) didapati melanggar syarat-syarat perkhidmatan dengan syarikat. Kami mempunyai semua bukti tetapi kami tak akan mencanangkan butir-butir ini kepada umum,” kata AC Mizal dalam kenyataan itu.
Pengacara berusia 53 tahun itu juga telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang terlibat dalam penularan fitnah tersebut untuk membersihkan imej syarikat.
Dalam perkongsian itu, orang ramai juga diminta untuk berfikir secara tenang dan tidak membabitkan diri dalam penyebaran fitnah atau cerita yang tidak berasaskan fakta sebenar.
“Saya telah mengarahkan peguam saya dan syarikat SUKETV untuk mengambil tindakan undang-undang serta merta terhadap individu-individu yang terbabit berkenaan penularan fitnah ini.
“Oleh itu, biar mahkamah yang menentukan salah betul masing-masing. Berkenaan dengan tindakan yang seterusnya, saya serahkan kepada proses undang-undang mahkamah dan keadilan negara kita.
“Pihak saya dan SUKETV sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak sekiranya ada sebarang isu asalkan kita menggunakan saluran yang betul. Jangan menyalahgunakan sosial media untuk kepentingan-kepentingan yang tertentu,” jelasnya.
Kenyataan yang dibuat Ac Mizal itu bagaimanapun telah menimbulkan perbincangan hangat di ruangan komen Instagram di mana rata-rata pengguna platform berharap pengacara terbabit menunjukkan bukti bahawa perkara tersebut adalah fitnah.
Beberapa pengguna termasuk peminat tampil memberi kata-kata semangat kepada AC Mizal di akaun Instagram milik SUKE TV itu agar semua urusannya dipermudahkan sekiranya benar dakwaan tersebut tidak benar.
“Daripada buang duit nak saman orang, baik guna untuk bayar (gaji) pekerja. Kalau betul dakwaan itu fitnah, serta sekali bukti. Bukan mengeluarkan kenyataan mengugut macam ini untuk senyapkan orang awam,” kata seorang pengguna.
“Berani kerana benar Datuk! Lawan tetap lawan.” Kongsi pengguna lain memberikan sokongan kepada pengacara yang memulakan kerjayanya di dalam industri hiburan tanah air sebagai ahli kumpulan hip hop, 4U2C itu.
Terdahulu, personaliti televisyen dikenali sebagai Meyra Khan mendedahkan gajinya ketika berkhidmat di sebuah stesen televisyen masih tidak dilunaskan malah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga turut tertunggak.
Baca juga: Pernah ditipu penganjur, Tomok harap artis baru siasat dahulu sebelum setuju nak buat konsert
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio