Anak mana sahaja selesa untuk meninggalkan ibu baba yang kurang sihat untuk bekerja di negeri lain, apatah lagi terpisah dek lautan.
Buat penyanyi Hafiz Suib, meskipun berat hati untuk meninggalkan ibu yang kini dirawat di hospital akibat paru-paru berair, Hafiz tetap meneruskan karier sebagai anak seni.
Hafiz memaklumkan ibunya, Halizawati Salleh, menghidap penyakit kencing manis serta masalah jantung memerlukan pengawasan rapi serta sokongan keluarga lapor Kosmo.
“Saya kini sudah kembali menetap di Kuching untuk menjaga orang tua saya terutama ibu yang menghidap beberapa penyakit.
“Sekarang ini ibu saya masih dirawat di hospital kerana mengalami paru-paru berair yang turut memberi kesan terhadap jantung.
“Menurut doktor, tiga daripada empat injap jantungnya sudah kurang berfungsi ditambah sekarang ibu pun ada kencing manis.
“Jadi itulah yang membuatkan saya menetap di Kuching,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Pada mulanya dia berat hati untuk meninggalkan ibunya bagi menyertai Separuh Akhir Muzik Muzik ke-39 (SFMM39) Khamis lalu, ibunya tetap memberikan sokongan buatnya.
“Kalau diikutkan memang agak berat hati nak ke Kuala Lumpur tapi saya ingat lagi mak saya suruh lakukan juga persembahan pada malam ini (Khamis) untuk tidak kecewakan peminat.
“Ibu saya doakan yang terbaik untuk separuh akhir ini. Dia minta saya jangan kecewakan peminat yang buatkan saya kuatkan semangat muncul juga.
“Tadi pun sebelum tampil di pentas saya sempat buat panggilan video dengan ibu. Dia sekarang ditemani adik dan ayah kalau saya tiada di sana. Ini hari kelima ibu di hospital, kami bergilir jaga,” ujarnya.
Pada masa sama dia memaklumkan isteri Nureffy Jasreel Abdullah dan dua putera mereka masih tinggal di Kuala Lumpur berikutan masih bersekolah.
Baca juga: Kostum gergasi Aina Abdul pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 39 ‘trending’ habis di media sosial