“Bukan tindakan antara 2 darjat” – DBKL perjelas isu tak kapit tayar kenderaan mewah

Oleh MAISARAH AISYA

Tular sebelum ini mengenai orang awam tidak berpuas hati susulan ada sesetengah kenderaan mewah yang tidak dikapit tayar walaupun parkir kenderaan di kawasan larangan.

Disebabkan itu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil perjelas mengapa kenderaan tersebut tidak dikapit tayar.

Penguatkuasa DBKL pada 11 November 2024 menjalankan tugas di sekitar Jalan Telawi 1, 3, dan 4, Bangsar, adalah berdasarkan SOP yang jelas dan konsisten.

Dalam satu kenyataan yang dimuat pada Jumaat lalu di Facebook, DBKL tampil pertahan tindakan dilakukan.

“Bukan tindakan dua darjat. Nampaknya isu kapit roda di Bangsar menjadi bualan hangat baru-baru ini.

“DBKL ingin memperjelaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh pasukan penguatkuasaan kami adalah berdasarkan SOP yang jelas dan konsisten, tanpa ‘pertimbangan khas’ untuk sesiapa pun.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa kenderaan lain ‘terlepas’ dalam video tersebut. Untuk makluman, SOP DBKL menetapkan bahawa tindakan kapit roda tidak boleh dikenakan ke atas kenderaan yang mempunyai pemandu di dalamnya.

“Justeru, petugas kami telah mengarahkan agar pemilik kenderaan yang berada di dalam kenderaan untuk mengalihkan kenderaan mereka dari lokasi,” jelas kenyataan tersebut.

Pada hari tersebut, sejumlah 13 kenderaan telah dikenakan tindakan kapit roda, termasuk sebuah Perodua Bezza seperti yang telah dirakam oleh pemiliknya.

“Bagi yang mungkin kurang jelas dengan kronologi, tindakan notis dan kapit roda ke atas kereta Bezza dilakukan pada jam 1.09 petang.

“Manakala pembukaan kapit dilakukan pada jam 1.30 petang di Jalan Telawi 4, berdekatan Q Bistro, jelasnya.

Dalam pada itu DBKL menegaskan pihaknya akan memegang teguh pada prinsip keadilan tanpa ‘dwi-standard’.

“DBKL ingin menegaskan bahawa kami berpegang teguh kepada prinsip keadilan tanpa ‘dwi-standard’.

“Semua tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah telus, tegas, dan bertujuan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan warga kota tanpa prejudis,” tambahnya.

Baca juga: Video nenek bongkok hulur sedekah jentik hati netizen, kongsi rezeki walau serba kekurangan