Baru-baru ini tular di platform media sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian pukau berlaku di sebuah premis kosmetik melibatkan seorang wanita yang menyamar menjadi pelanggan.
Akibat daripada kejadian itu, seorang pekerja wanita yang dipercayai bertugas keseorangan mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit apabila cincin, rantai dan gelang emas miliknya dikebas ‘pelanggan’ berkenaan.
Menerusi satu hantaran di platform TikTok, pemilik premis kosmetik di Jaya Gading, Kuantan itu memaklumkan bahawa pelaku masuk ke kedai dengan helah konon mahu membeli minyak wangi dalam kuantiti yang besar.
Pelaku kemudian berbual dengan pekerja sehingga gadis berkenaan mula merasa selesa sebelum terpukau dan menyerahkan semua barangan kemas miliknya dengan rela hati dalam keadaan tidak sedar.
“Mula-mula dia (pelaku) kata nak beli minyak wangi untuk dijadikan beg ‘goodies’. Pelaku siap tunjuk duit dia dalam beg ada RM3,000. Pekerja cakap dia rasa seronok ketika berborak dengan orang itu.
“Memang tak sedar pelaku mengambil rantai, cincin dan gelang. Selepas dapat barang kemas, dia kata nak pergi bank sekejap sebab nak cucuk duit. Tahu-tahu orang itu sudah pergi.
“Berhati-hatilah warga Kuantan atau di negeri manapun kamu semua berada. Perbuatan ini betul-betul jahatlah. Orang bermati-matian kerja. Dia nak dapat duit mudah, guna ilmu hitam sahaja,” kesalnya.
Tular di media sosial, perkongsian menceritakan kejadian itu bersama rakaman CCTV yang dimuat naik menerusi akaun TikTok pemilik kedai kosmetik berkenaan sudah meraih tontonan daripada 3.3 juta pengguna.
Dalam hantaran seterusnya, pemilik premis kosmetik itu memberitahu bahawa pekerjanya baru sahaja menyedari kehilangan semua barangan kemas miliknya sehari selepas kejadian.
“Terima kasih yang sudah berkongsi petua untuk elakkan pukau. Sampai sekarang, aku rasa takut selepas kejadian itu. Pekerja aku menangis apabila tersedar barang kemas yang mak dia berikan habis tiada (hilang),” kongsinya.
Dalam perkembangan terbaharu, pemilik kedai kosmetik itu dalam satu sesi siaran langsung mengakui bahawa kejadian tersebut sudah dilaporkan dan kini berada dalam siasatan pihak polis.
Sekadar info, antara petua yang dikongsikan pengguna TikTok untuk mengelakkan kejadian pukau adalah mengenakan pakaian seperti seluar dalam secara terbalik dan membaca Ayat Kursi sebelum keluar rumah.
Baca juga: “Bukan tindakan antara 2 darjat” – DBKL perjelas isu tak kapit tayar kenderaan mewah