Lelaki mengaku dibayar sertai komuniti ‘Old Money’, dedah jumlah komisen diterima setakat ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Istilah ‘Old Money’ sering dijadikan topik perbincangan hangat di media sosial kebelakangan ini selepas seorang pempengaruh sensasi mendakwa telah menubuhkan satu komuniti.

Komuniti digelarkan Old Money yang ditubuhkan oleh pempengaruh, Andika Putera itu kononnya telah menerima lebih daripada 300 pendaftaran dalam masa seminggu sejak ia mula diperkenalkan.

Andika turut berkongsi video ketika bersiar-siar di bawah terik matahari bersama ahli komuniti itu memakai kemeja lengan panjang, baju panas (sweater) diikat di atas bahu dan seluar panjang slack serta kasut kulit.

Penubuhan komuniti itu mengundang kecaman orang ramai terhadap Andika kerana istilah Old Money bukanlah merujuk kepada gaya pakaian sahaja namun gaya hidup, tatasusila serta cara pergaulan golongan elit kaya raya terutamanya di negara barat.

@andikaputeraa

Geng baru Old Money ⚜️🤩 Baru je Dika tubuhkan Komuniti Old Money tak sampai seminggu pun. Alhamdulillah, ramai yang joindekat 300 lebih ahli dah. Akmal ni pun salah seorang ahli dalam komuniti Dika turun KL haritu join photoshoot untuk Old Money Club. Alang-alang dah sama-sama join Dika photoshoot, Dika ajak dia untuk tangkap reaction orang sekeliling. Jom tengok 😎 Komen ❤️ kalau suka Old Money #oldmoney #komuniti #club #fyp #viral #tiktok

♬ original sound – Andika Putera – Andika Putera

Terbaharu, salah seorang ahli komuniti tersebut membuat pengakuan di media sosial bahawa tujuannya menyertai kumpulan tersebut adalah untuk mendapatkan wang semata-mata.

Individu yang menyembunyikan identiti sebenarnya itu mendakwa menerima bayaran daripada Andika mengikut jumlah tanda suka yang diraih pempengaruh berkenaan dalam hantarannya di media sosial.

Pemuda berkenaan turut mendedahkan bahawa dirinya telah menerima bayaran mencecah ribuan ringgit hanya dengan muncul dalam gambar ahli komuniti Old Money dikongsi Andika.

“Agak malu nak mengaku. Tetapi aku adalah antara salah seorang ahli yang menyertai komuniti Old Money Andika. Dalam gambar yang ramai-ramai itu ada aku. Aku sertai sebab duit sahaja.

“Dia (Andika) bayar seorang ahli RM100 bagi setiap 10,000 tanda suka yang diraih di dalam hantaran di media sosial miliknya mengenai komuniti itu. Setakat ini aku sudah dapat duit dekat RM2,000 jugalah.” Akuinya.

Sekadar info, konsep Old Money sebenarnya merujuk kepada golongan yang memiliki harta melimpah ruah diwarisi dari generasi ke generasi atau di dalam bahasa mudahnya ‘kaya tujuh keturunan’.

Estetika fesyen Old Money pula merujuk kepada gaya berpakaian golongan ini yang mewah serta elegan, namun tidak lapuk dek zaman dan tentunya tanpa pameran logo besar bagi menonjolkan elemen kesederhanaan.

Fabrik berkualiti seperti linen dan kashmir juga sinonim dengan penampilan ini untuk menyerlahkan gaya mewah manakala penggayaan aksesori pula haruslah bersifat ringkas dan tidak sarat di badan.

Baca juga: Boleh ke kalau nak sewa baju persembahan Siti Nurhaliza? Ini jawapan pereka fesyen TokTi