Naik berang gara-gara diganggu, seorang pemuda warga asing bertindak mengorek keluar bebola mata kiri milik lelaki tempatan dalam kejadian yang berlaku di kawasan berhampiran sebuah flat.
Kejadian cukup mengerikan itu berlaku kira-kira pada jam 2 petang, semalam selepas mangsa yang berusia 52 tahun dipercayai berada di dalam keadaan mabuk didakwa mengganggu suspek berumur 28 tahun.
Difahamkan dalam pergaduhan berlaku di flat terletak di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang itu, suspek telah mengorek keluar bebola mata kiri mangsa menggunakan tangannya.
Mangsa yang turut mengalami kecederaan lain termasuk di mata kanan kini dilaporkan berada di dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Kepala Batas, lapor Berita Harian.
Suspek berjaya diberkas oleh pihak polis di lokasi kejadian manakala bebola mata kiri milik mangsa pula berjaya dijumpai tidak jauh daripada lokasi pergaduhan tersebut berlaku.
Difahamkan, bebola mata kiri itu dijumpai oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) ketika mereka hadir untuk membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi oleh pihak media mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku dan kenyataan mengenainya juga akan dikeluarkan.
Datuk Hamzah turut memaklumkan bahawa siasatan kes itu dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.
Baca juga: Tetap beraksi di SFMM39, Hafiz Suib akui berat hati tinggalkan mak