Kerajaan Negeri Melaka tarik balik gelaran Datuk dianugerah kepada CEO GISBH, Nasiruddin

Oleh WAN SITI AMINAH

Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan bahawa darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan negeri itu kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, ditarik balik serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad di dalam satu kenyataan berkata, arahan penarikan itu dibuat Yang di-Pertua Negeri itu, Tun Mohd Ali Mohd Rustam selepas mendapat nasihat dari Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sehubungan dengan itu, Azhar memaklumkan bahawa nama Nasiruddin sudah dikeluarkan daripada senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024.

“Penarikan balik Darjah Kebesaran ini selaras dengan kuasa prerogatif Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.

“Oleh yang demikian, Encik Nasiruddin bin Mohd Ali tidak dibenarkan menggunapakai gelaran tersebut dan beliau dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran tersebut kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan
Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Melaka.

Sekadar info, Nasiruddin dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada 25 Ogos lalu sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri itu.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil pada 14 Oktober lalu dilaporkan berkata, Jawatankuasa Fatwa Melaka yang bermesyuarat pada 3 Oktober telah memfatwakan ajaran dan amalan dalam organisasi GISBH adalah sesat.

Hal ini berikutan ajaran dan amalan dalam organisasi itu memiliki ciri persamaan dengan elemen berkaitan ajaran difatwakan haram pada 1994 iaitu Al-Arqam dan Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (SRC) yang juga difatwakan haram pada 2007.

Baca juga: Punyalah laku, rakyat di Indonesia kerumun gerai roti canai sampai pelanggan terpaksa masak sendiri