Gara-gara nak belanja kekasih makan siakap 3 rasa, remaja 15 tahun terjerat hutang along RM13,000

Oleh WAN SITI AMINAH

Demi memenuhi keinginan kekasih tersayang menikmati hidangan ikan siakap tiga rasa, seorang remaja berusia 15 tahun sanggup membuat pinjaman daripada along atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

Bukan cerita rekaan, itu adalah antara salah satu kejadian sebenar yang didedahkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pusat Pengajian Fardu Ain dan Al-Quran, Darul Muttaqim (DM).

Pengurus Pusat Pengajian Fardu Ain dan Al-Quran DM iaitu Fariz Izhar memaklumkan, siasatan lanjut dijalankan oleh pihaknya mendapati remaja dari Selangor itu telah meminjam daripada 12 along.

Jelasnya, perkara ini berlaku berikutan peminjam terbabit gagal menjelaskan tunggakan awal hingga menyebabkan remaja yang tidak bersekolah itu terpaksa berhutang dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen lain.

Tindakan remaja itu bukan membantunya menyelesaikan masalah malah menambah lagi beban sebelum terjerat dengan hutang berjumlah RM13,000 daripada pelbagai jenis along, lapor Kosmo.

Memetik laporan berkenaan, Fariz Izhar berkata bahawa remaja terbabit terjumpa iklan mengenai peminjaman wang tidak berlesen itu ketika melayari aplikasi atas talian iaitu TikTok.

Iklan itu dilihat oleh remaja berkenaan selepas kekasihnya meluahkan hasrat mahu makan hidangan ikan siakap tiga rasa lalu membuat keputusan untuk meminjam mungkin kerana malu meminta duit daripada ibu bapanya.

Difahamkan, ibu bapa kepada remaja berkenaan bekerja sebagai penjawat awam namun mangsa kini dikatakan tinggal bersama bapa saudaranya kerana tidak mahu lagi bersekolah.

Hilang arah mencari jalan keluar, remaja terbabit akhirnya memutuskan untuk meminta bantuan daripada pihak DM sebelum pertubuhan tersebut memberitahu perkara itu kepada ibu bapanya.

Masalah dihadapi remaja itu adalah antara lebih 3,700 kes dibantu oleh pertubuhan tersebut membabitkan individu berusia 15 hingga 60 tahun yang terjerat hutang dengan Along sejak tiga tahun lalu.

Sekadar info, pertubuhan yang memulakan operasinya sejak 2022 lalu itu menyediakan khidmat bantuan penyelesaian kes melibatkan along dan penipuan wang pinjaman tidak berlesen.

Baca juga: Beratur nak beli makanan masa hujan, tindakan wanita bawa anak kecil dikecam