Kenal tak sampai sebulan, ibu tunggal pilih lelaki tua 33 tahun jadi suami

Oleh MALAYSIADATELINE

Bila dah namanya jodoh, perbezaan usia bukanlah halangan untuk menjadi halal untuk pasangan masing-masing.

Apatah lagi mendapat restu dan berkat daripada kaum keluarga yang menyokong baik niat untuk halalkan hubungan.

Tular di TikTok mengenai seorang wanita yang memuat naik gambar dengan suaminya yang dilihat jauh lebih berusia.

Beza umur 33 tahun bukanlah penghalang untuk Norain Azlyin Abd Rasad berkahwin dengan pasangannya Awang Zainal Abidin Awang Damit Yahya lapor Harian Metro.

Wanita berusia 28 tahun itu menikahi suaminya yang berusia 61 tahun pada Oktober lalu selepas diperkenal bapa saudaranya.

Tidak sampai sebulan perkenalan, Norain Azlyin Abd Rasad bersetuju berkahwin dengan Awang Zainal Abidin Awang Damit Yahya yang 33 tahun lebih berusia daripadanya.

Norain Azlyin pernah berkahwin selama 10 tahun sebelum bercerai pada April lali manakala suaminya pernah berkahwin dua kali dan kematian isteri pada 2022.

“Saya tak terfikir pun akan berkahwin dalam tahun ini kerana baru berpisah dengan bekas suami tujuh bulan lalu.

“Tapi dua bulan lalu, pak cik (bapa saudara) saya kenalkan dengan suami yang juga rakannya. Pada awalnya tertanya juga kenapa diperkenalkan dengan suami yang lebih berusia.

“Tapi selepas bersembang, nampak suami bukan macam lelaki lain kerana tak ambil kesempatan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelasnya niat suaminya yang bersungguh mahu memperisterikannya membuka hatinya dan keluarga untuk menerima lelaki itu.

“Jadi nampak suami tak hanya pandai berkata-kata tapi buktikan dengan jumpa orang tua saya untuk menyatakan hasratnya.

“Alhamdulillah, ibu dan ayah tak halang walaupun suami lebih berusia daripada saya dan mereka setuju kerana enggan kami keluar tanpa ada hubungan yang sah.

“Tambahan, saya ibu tunggal dan baru habis tempoh edah jadi tak manis dipandang orang sekeliling,” katanya.

Meskipun masing-masing mempunyai anak dengan perkahwinan terdahulu, itu bukanlah penghalang untuk bahagia malah anak mereka menerima mereka berdua.

Baca juga: Produk pun orang tak kenal tiba-tiba dah jadi jutawan, wanita dedah taktik ‘founder’ kosmetik