Premis milik sebuah francais minuman teh popular baru-baru ini menjadi tumpuan ramai selepas menjalankan kempen ‘Tear & Win’ yang menawarkan hadiah menarik termasuklah pelbagai barangan mewah.
Kempen yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ketujuh syarikat itu bagaimanapun dicemari dengan isu negatif selepas tularnya rakaman memaparkan perbuatan pekerja francais tersebut mengasingkan cawan.
Difahamkan, pekerja berkenaan didakwa mengasingkan cawan di kaunter lalu hanya membawa masuk semula bekas yang mengandungi hadiah ke bahagian belakang premis.
Rakaman yang pada mulanya dimuat naik di platform TikTok itu kemudian dikongsikan semula di pelbagai aplikasi media sosial lain termasuklah laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
Tindakan pengguna X itu bagaimanapun tidak disambut baik oleh pihak francais minuman yang memintanya untuk segera memadamkan video bagi menghormati privasi pekerjanya.
Sekiranya rakaman tersebut tidak dipadam dengan segera, pengguna X berkenaan dikatakan akan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak francais minuman popular itu.
“Kami menghargai setiap maklum balas anda untuk memperbaiki. Kami tidak menggalakkan sebarang aksi yang dilakukan dalam video tersebut. Kami juga telah mengambil tindakan sepatutnya kepada pekerja terlibat,” kata francais minuman tersebut.
Difahamkan, respon itu diberikan pihak francais menerusi pesanan secara terus (DM) yang mana tangkap layarnya turut dimuat naik oleh pengguna X yang menerima mesej tersebut.
Keputusan syarikat untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial malah mengundang kecaman daripada orang ramai yang tidak bersetuju dengan langkah itu.
Rata-rata pengguna media sosial turut berkongsi pendapat untuk terus memboikot francais minuman berkenaan dan bercadang untuk beralih kepada jenama tempatan.
“Syarikat dekat Malaysia ini mana pernah nak ikhlas ambil maklum balas (dari pelanggan). Akhir-akhir mesti ugut nak saman,” kesal seorang pengguna berhubung isu tersebut.
“Baik boikot sahaja (francais minuman) ini. Orang itu sudah berniat baik mengutarakan kelemahan kempen. Saya tidak boleh terima jawapan dingin seperti ini.” Kata pengguna lain.
Baca juga: Bawa gelas yang ada ‘gift’ ke belakang, netizen kecam staf, anggap tak adil