Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin di atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan lebih 70 harta.
Harta tersebut termasuklah beberapa kenderaan mewah, syarikat dan juga hartanah yang terletak di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan prosiding berikutan tertuduh iaitu Daim, 86, meninggal dunia pada 13 November lalu.
Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Azura Alwi mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah (CPC), lapor Berita Harian.
Seksyen 254 CPC menyatakan bahawa dalam mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa Raya jika berpendapat patut, boleh memberitahu mahkamah yang ia tidak akan mendakwa tertuduh.
Difahamkan sekiranya perkara ini berlaku, semua prosiding hendaklah diberhentikan serta tertuduh hendaklah dibebaskan daripada pertuduhan.
“Saya perintahkan tertuduh, arwah Tun Daim dilepas dan dibebaskan. Mahkamah juga mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga dan semoga arwah ditempatkan bersama para solihin,” kata Azura Alwi memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa pihaknya tidak meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Daim susulan kematiannya.
Pada 29 Januari lalu, Allahyarham Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Kemudian pada 23 Januari, isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid pula didakwa atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Untuk rekod, Allahyarham Daim menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 13 November lalu ketika menerima rawatan selama dua minggu.
Baca juga: “Itu kan pau babi” – Netizen pertikai hantaran Tun M, muat naik gambar kedai tak halal