Guna logo halal tak sah, restoran terkenal di Kelantan beroperasi lebih 50 tahun dikompaun

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, namun ini bukan tiket untuk menggunakan logo yang tidak sah.

Sudah beroperasi lebih separuh abad, satu restoran di Kota Bharu, Kelantang telah dikompaun lapor Bernama.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata tindakan itu susulan pemeriksaan pihaknya di premis berkenaan.

Pemeriksaan berlaku pada 12.30 tengah hari Isnin lalu yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.

Premis itu dikenakan kompaun selepas mempamerkan logo halal tanpa sijil sah yang menyalahi Perintah 8 (a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Hasil semakan juga mendapati premis itu pernah memohon sijil halal pada 2011, namun tidak diluluskan.

“Selain itu, KPDN turut merampas salinan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen pihak berkuasa tempatan serta dua unit gegantung pelekat tertera logo halal dan dua unit papan tanda kedai,” katanya dalam kenyataan.

Jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

“Jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Baca juga: Aliff Syukri nak lelong Porsche, Mercedes dan Honda CR-V miliknya, harga bermula RM95k je