Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan mencuri dua barangan kemas dari jasad wanita yang ditemukan meninggal dunia di dalam kereta pada Oktober lalu.
Tertuduh, Mohd Alifah Mohd Sapie yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, M S Arunjothy.
Mengikut pertuduhan, anggota polis berusia 35 tahun itu didakwa mencuri seutas rantai leher dan tangan dimiliki mangsa bernama Nur Farhana Nisha Syazwan, 26, dalam sebuah kereta di tepi jalan Prima Setapak, Wangsa Maju pada jam 2.40 pagi, 1 Oktober lalu.
Atas pertuduhan tersebut, bapa kepada lima cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, lapor Harian Metro.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’Asnita Zaina’Larifin tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin namun peguam Lavinia Raj yang mewakilinya memohon ia dibenarkan.
Hal ini berikutan anggota polis yang perlu menampung keluarganya itu mempunyai tanggungan lima orang anak kecil dan masih bersekolah berusia 12, 10, 8, 6 dan dua tahun.
“Anak guam berpangkat Lans Koperal dengan pendapatan hanya RM2,500 sebulan, sekiranya jaminan tinggi ditetapkan, tertuduh akan mengalami kesusahan untuk menampung keluarga,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak, Arunjothy membenarkan jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Januari depan.
Sebelum ini, seorang bapa mendakwa barangan kemas dipakai anak perempuannya hilang susulan ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak pada 1 Oktober lalu.
Bapa dikenali sebagai Syazwan Abddulah, 59, yang juga pesara polis itu dimaklumkan oleh pemilik rumah sewa anaknya berhubung penemuan mayat wanita terbabit pada awal pagi, 1 Oktober lalu.
Difahamkan, anaknya ditemukan anggota polis peronda selepas menyedari kereta Proton Saga dinaiki mangsa diparkir dalam keadaan berkunci dengan enjin masih hidup dan lampu menyala ketika membuat rondaan.
Syazwan dikatakan baru terdetik untuk mencari rantai, loket serta gelang emas milik anak yang juga pemberian nenek serta kakaknya itu selepas jenazah telah selamat dikebumikan di Banting, Selangor.
Susulan membuat pendedahan mengenai kehilangan barang kemas tersebut, seramai empat anggota polis ditahan yang mana kes berkenaan turut mengundang kemarahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Razarudin juga menyifatkan bahawa perbuatan mencuri barang kemas daripada jasad seorang wanita yang sudah tidak bernyawa adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan.
Baca juga: Kecewa lihat bayaran rendah pelakon senior, Joey anggap ia tak masuk akal