Pendakwah bebas popular, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI menegaskan bahawa mereka yang diwajibkan menunaikan solat Jumaat dilarang sama sekali untuk ‘bermain-main’ termasuk dengan telefon bimbit.
Hal ini berikutan mereka perlu berusaha menumpukan sepenuh perhatian kepada khutbah disampaikan dan dilarang daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menganggu tumpuan.
Perkara itu dijelaskan oleh Ustaz Azhar di dalam satu sesi ceramah selepas mendapat soalan berhubung hukum bermain telefon bimbit ketika mendengar khutbah solat Jumaat.
Walau bagaimanapun, perbuatan itu dimaafkan sekiranya bertujuan untuk merakam penyampaian khutbah dengan syarat sebentar sahaja sebelum kembali memberikan tumpuan.
“Sesiapa yang diwajibkan untuk solat Jumaat, tidak boleh bermain-main. Yang boleh bermain-main hanyalah orang yang tidak diwajibkan solat Jumaat. Contohnya, kanak-kanak.
“Kanak-kanak tidak wajib solat Jumaat. Maka mereka boleh bermain tetapi di rumah. Kalau di masjid tidak boleh kerana dikhuatiri mengganggu orang yang diwajibkan solat Jumaat.
“Jadi jangan main telefon. Tetapi kalau dia merekod apa yang disampaikan oleh Khatib, perbuatan itu dimaafkan kerana penggunaan telefon sebentar sahaja. Selepas itu, dia hendaklah memberi tumpuan semula kepada khutbah,” katanya.
Sedutan rakaman penjelasan berhubung penggunaan telefon bimbit yang dibuat oleh Ustaz Azhar ini dimuat naik di platform TikTok oleh pengguna laman media sosial berkenaan.
Dalam perkongsian yang sama, penceramah terkenal dari Terengganu itu turut berkongsikan kaedah tepat untuk menegur seseorang tanpa perlu bercakap ketika khutbah disampaikan.
Hal ini kerana mereka yang mendengar khutbah Jumaat disunatkan untuk diam daripada berkata-kata dan tidak melakukan aktiviti lain selain mendengar khutbah dari Khatib.
“Nabi larang bercakap. Sekiranya kita bercakap, akan jadi ‘lagha’. Kata Imam Nawawi dan para ulama, hendaklah kita melarang dengan isyarat. Contohnya kalau ada kanak-kanak bising, kita buat isyarat jari (letak dekat mulut).
“Isyarat dilakukan dengan tujuan untuk menegur dan memintanya diam. Itu adalah harus hukumnya, tidak dilarang.” Jelas pendakwah berkenaan di dalam rakaman tersebut.
Baca juga: Siap bertudung, berjubah masa tunaikan umrah, transgender negara seberang dikecam