Status produk sebelum dapat sijil halal dipersoal, ini penjelasan Khairul Aming

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming baru-baru ini mengumumkan bahawa produk keluaran syarikatnya, Sambal Nyet dan Dendeng Nyet Berapi telah menerima pengiktirafan sijil halal dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Namun susulan pengkhabaran itu, muncul pula individu yang tampil mempersoalkan isu berhubung status halal kedua-dua produk berkenaan sebelum pengiktirafan sijil daripada pihak JAKIM diterima syarikatnya secara rasmi.

Tampil memberi penjelasan, Khairul Aming menerusi satu hantaran di platform X memaklumkan bahawa ketiadaan sijil sebelum ini bukanlah bermaksud kedua-dua produk keluaran syarikatnya itu tidak halal untuk dimakan oleh pelanggan.

Namun prosedur yang perlu dipatuhi dalam pembinaan kilang termasuk mewujudkan kawasan pempeprosesan dan pengeluaran yang selari dengan kehendak pensijilan harus dilakukan secara berperingkat selain memakan masa untuk disiapkan.

“Bukan bermaksud produk tidak halal (sebelum ini). Cuma nak bangunkan kilang ini ada prosedur dia. Kita membina kilang daripada kosong, jadi memang mengambil masa untuk menyiapkan pengurusan rantaian pengeluaran sepenuhnya.

“Mula-mula, kami mendapatkan sijil kelulusan dari Skim Pensijilan MeSTI, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Selepas itu, kami memohon pula Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Selepas ini kami akan memohon sijil lain yang seterusnya. Peringkat demi peringkat,” jelasnya.

Dalam perkongsian sama, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu juga memberitahu pengiktirafan halal daripada JAKIM ini dapat menaik taraf kilang selain memperoleh keyakinan pelanggan kepada pembekal dan tentunya produk itu sendiri.

“Sudah tentu kita masak yang halal sebab saya sendiri nak makan produk itu. Sijil halal ini kita mohon sebab mahu naikkan taraf kilang dan berikan keyakinan bahawa kilang, pembekal dan proses masakan kita bukan sahaja bersih dan selamat tetapi juga disahkan halal semuanya.

“Sekarang sudah dapat sijil halal, kita boleh rancang untuk mengembangkan produk ke pasaran yang lebih besar lagi, Insya-Allah.” Kata ahli perniagaan muda berusia 32 tahun berkenaan dalam hantaran tersebut.

Baca juga: Hargai usaha keras buat ‘live’ setiap hari, Aliff Syukri beri kejutan hadiahkan isteri Mercedes Benz RM400k