Selalu hadap masalah tiket habis nak balik Kelantan, pemuda tukar kerjaya jadi pengusaha bas ekspres

Oleh MALAYSIADATELINE

Bagi yang sering menggunakan bas bagi pulang ke kampung sewaktu musim perayaan, mesti sedar akan betapa mahalnya harga dan masa yang diambil untuk sampai ke destinasi.

Mahu mengubah pengalaman, pemuda Kelantan ini memilih untuk memulakan syarikat bas ekspres sendiri, Zaim Ekspres lapor Harian Metro.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Ahmad Zaim Ghazali berkongsi pengalaman membeli tiket mahal punca dia ingin membantu mereka tidak berkemampuan.

“Sukar sebenarnya untuk mendapatkan harga tiket yang murah selain pengguna kerap kali berdepan masalah kehabisan tiket dan harga tiket yang tidak menentu.

Dari situ saya rasa terpanggil untuk cuba mengubah senario yang berlaku. Saya berusaha sejak 2012 lagi untuk mengusahakan perniagaan ini.

“Selepas tamat latihan amali, saya cuba untuk mendapatkan lesen namun gagal sehinggalah akhirnya berjaya mendapatkan lesen perniagaan bas ekspres pada 2018,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelasnya pada mula dia berkecimpung dalam perniagaan tersebut, agar sukar mendapatkan bantuan bank untuk memulakan bisnes.

“Pada awalnya, saya cuba untuk membuat pinjaman bank namun gagal. Saya terpaksa mengumpul wang sendiri dan berjaya membeli sebuah bas terpakai secara tunai.

“Pada 2020, kami beroperasi hanya dengan menggunakan sebuah bas terpakai namun diselenggara dengan baik.

“Tidak terhenti di situ, saya diduga apabila negara dilanda Covid-19 dan bas ekspres tidak dapat beroperasi. Namun, saya tetap berusaha untuk menjaga dan mengekalkan perniagaan ini,” tambahnya.

Pada tahun 2022, akhirnya Ahmad Zaim berjaya mendapat pinjaman sebanyak RM2.33 juta dari SME bank.

“Syukur pada 2022, saya mula mendapat kepercayaan bank dan menerima pinjaman RM2.33 juta dari SME Bank dan RM1 juta dari Bank Rakyat untuk proses pembelian bas ekspres.

“Jumlah pinjaman diterima juga kini semakin meningkat hasil kepercayaan diberikan bank,” katanya.

Selepas 11 tahun berada dalam industri pengangkutan awam, Ahmad Zaim kini miliki lapan bas ekspres dan mengakui ia bukanlah satu jalan mudah.

“Untuk berada di tahap sekarang bukanlah satu perjalanan mudah. Satu persatu dugaan dan ujian datang namun saya sentiasa yakin dengan Allah dan berusaha sehabis baik.

“Selebihnya, keluarga dan rakan-rakan banyak memberi sokongan dan dorongan.

“Untuk sekarang, laluan perjalanan Zaim Ekspres adalah dari Klang, Shah Alam, Terminal Bas Selatan, Kota Bharu dan Rantau Panjang.

“Kami menyasarkan pengguna dalam kalangan pelajar universiti khususnya, selain individu yang berulang alik ke Kelantan atas urusan kerja atau perniagaan,” tambahnya.

Pihaknya juga mengenakan harga tiket berpatutan dan sesuai dengan perkhidmatan yang diberikan.

Baca juga: Pemilik restoran makanan Jepun dedah taktik ‘scam’ tender kerajaan, hampir rugi RM30,000