Wanita rugi lepas labur RM20,000 dalam ‘unit trust’, menyesal tak simpan dalam ASB

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang wanita yang meluahkan kekesalan ekoran pelaburan ‘unit trust’ atau unit amanah berjumlah RM20,000 miliknya tidak mendatangkan keuntungan seperti diharapkan.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Threads, wanita terbabit mengakui memilih pelan pelaburan unit amanah menerusi program perundingan kewangan yang ditawarkan oleh bank tempatan.

Namun alangkah kecewanya wanita itu apabila pelaburan tersebut bukan sahaja tidak mendatangkan keuntungan malah nilai unit amanah miliknya juga menurun di dalam tempoh empat tahun.

Bahkan setiap kali bertanyakan perkembangan mengenai perlaburannya itu, wanita berkenaan hanya diminta untuk bersabar menantikan keuntungan yang mungkin akan diperolehnya suatu hari nanti.

Wanita itu memahami bahawa pelaburan sememangnya tidak sentiasa menjamin pulangan yang lumayan namun kerugian dialaminya saban tahun membuatkan dirinya bertambah kecewa.

“Pada empat tahun yang lalu, saya masukkan wang tunai sebanyak RM20,000 dalam pelan pelaburan unit amanah menerusi program perundingan kewangan di sebuah bank.

“Nilai terkini buat masa sekarang hanyalah RM14,000 lebih sahaja. Tak tahu nak cakap apa. Entah, selalu buat ‘follow-up’. Tetapi biasalah, dinasihatkan untuk terus menunggu. Kalau tak untung itu, faham.

“Tetapi apabila semakin rugi, itu yang kecewanya. Semua orang melabur untuk mendapatkan keuntungan,” tulis wanita itu meluahkan perasaannya di dalam hantaran tersebut.

Wanita itu juga menyesal kerana tidak melaburkan wang miliknya ke dalam Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) sahaja berikutan keuntungannya lebih terjamin dan konsisten.

Difahamkan, perkongsian dibuat untuk mendapatkan pendapat dari orang ramai memandangkan wanita itu keliru sama ada mahu memindahkan pelaburannya ke tempat lain atau menunggu dalam tempoh setahun lagi.

“Masih tertanya-tanya sekiranya saya perlu mengeluarkan semua pelaburan dan pindahkan ke tempat lain ataupun perlu menunggu selama satu tahun lagi? Itu duit penat jerih saya bekerja masa COVID-19 dahulu,” kongsinya.

Tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut mendapati rata-rata pengguna berkongsi pendapat bahawa wanita berkenaan sepatutnya tidak meletakkan wang sebanyak itu dalam satu jenis pelaburan sahaja.

Ramai juga pengguna Thread berkongsi ilmu kewangan dan mengatakan bahawa unit amanah adalah sejenis pelaburan jangka sederhana dan panjang di mana pelabur perlu menunggu lama untuk melihat ‘hasil’ yang berbaloi.

“Satu kesilapan kalau masukkan duit ke dalam satu jenis pelaburan sahaja. Patut masuk ASB sedikit, Tabung Haji dan sebahagian dalam pelaburan emas. Lalu keluarkan keuntungan dan masuk dalam ASB. Tak apa, awak dapat pengajaran di situ. Insya-Allah, ada rezeki nanti,” kata seorang pengguna.

“Pelaburan unit amanah bernilai RM20,000 itu sepatutnya diasingkan dalam pelbagai jenis kelas aset. Tambah pula unit amanah ini juga ada yuran tahunan. Jadi memang berpotensi untuk rugi kalau tak kena gaya.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Selalu hadap masalah tiket habis nak balik Kelantan, pemuda tukar kerjaya jadi pengusaha bas ekspres