Remaja 18 tahun kahwin nak elak maksiat, duduk asing lepas 5 bulan sebab hari-hari gaduh

Oleh WAN SITI AMINAH

Sepasang suami isteri yang berusia 18 tahun sudah tidak lagi tinggal sebumbung hanya selepas lima bulan mereka melangsungkan perkahwinan akibat pertengkaran tidak berkesudahan.

Itulah masalah kini dihadapi oleh seorang pemuda yang menyesali keputusannya kerana terlampau terburu-buru dalam mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada usia masih mentah.

Difahamkan, kedua-dua remaja berkenaan memutuskan untuk berkahwin awal dengan niat mahu mengelakkan maksiat namun sayangnya keserasian di antara mereka malah semakin hilang.

Menurut pemuda itu, konflik antara mereka berdua turut menjejaskan hubungan kedua-dua belah keluarga ekoran sikap isterinya yang gemar mengadu kepada ibu bapanya setiap kali berlaku salah faham.

Keadaan menjadi semakin keruh apabila bapa mentuanya datang ke rumah sebelum bertindak melemparkan kata-kata yang tidak sedap untuk didengari ditujukan kepada keluarganya.

“Aku dan isteri berumur 18 tahun. Sudah berumah tangga selama tujuh bulan. Kami menikah awal, sebabnya mahu mengelak dari maksiat. Tetapi sumpah, aku sudah penat sebab hari-hari bergaduh.

“Isteri pula macam tak suka keluarga aku. Sedikit-sedikit (berlaku salah faham), mesti isteri ‘report’ dekat mak dan ayahnya. Kemudian ayah dia datang rumah, maki-hamun keluarga aku,” kongsinya.

Perkongsian itu dibuat oleh pemuda berkenaan tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).

Dalam perkongsian yang sama, pemuda berkenaan turut mendedahkan bahawa mereka kini hanya berhubungan melalui panggilan telefon sejak tinggal berasingan dua bulan lalu.

“Sekarang, sudah dua bulan kami berdua duduk di rumah keluarga masing-masing. Hanya berhubungan melalui telefon apabila perlu sahaja. Menyesal (kahwin),” akui pemuda terbabit.

Menimbulkan perbincangan hangat, tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna X tampil memberi nasihat kepada pemuda terbabit dalam mencari jalan penyelesaian.

Berikutan perkahwinan adalah perkara yang mulia, ramai pengguna pendapat bahawa pemuda itu tidak perlu rasa menyesal sebaliknya terus mencari ilmu kerana tugas untuk menjadi ketua rumah bukan mudah bagi semua ‘suami’ tanpa mengira usia.

Beberapa individu turut berkongsi pandangan bahawa kedua-dua belah keluarga sepatutnya menjadi orang tengah di dalam menjernihkan hubungan mereka selain memberi bimbingan memandangkan pasangan itu masih mentah.

Baca juga: “Teruk mak cik kena pukul sebab mengandung masa remaja, rupanya yang ‘buat’ dia letak ubat tidur…”