Suruh PIBG sekolah minta duit dekat menteri, ADUN PN kena kecam

Oleh MALAYSIADATELINE

Tak dinafikan banyak sekolah terpaksa mencari dana dari pihak luar untuk membantu menjayakan program.

JIka dilihat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan cuba mencari dana dari luar untuk memudahkan urusan program.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkongsi tangkap layar perbualan bersama Yang DiPertua (YDP) PIBG sekolah di laman X yang memohon sumbangan selepas kehabisan wang dalam tabung.

“Kena minta dengan menteri, dia tak bagi kita masuk sekolah maknanya menteri tak nak duit kita,” tulis dalam tangkap layar yang dikongsikan.

Bagaimanapun sumbangan tetap diberikan meskipun memetik bahawa Kerajaan Pusat tidak membenarkan ahli politik masuk ke kawasan sekolah.

“Kita bagi juga, saja usik sikit je. Cuma nak cakap, inilah situasi, dilema yang dilalui pihak sekolah. Sumbangan Yang Berhormat (YB) memang sumber utama untuk pihak sekolah buat program.

“Tapi kita bagi sumbangan untuk buat tuisyen pun bising sampai pejabat menteri,” tulisnya dalam hantaran di X.

Namun hantaran tersebut tidak disambut elok oleh ramai pihak apabila melihat ia adalah kebiasaan untuk PIBG mencari sumbangan daripada pihak luar.

“Betul ke kau ni Doktor? Nak bagi tiada halangan. Jangan masuk sekolah buat majlis atas nama parti. Kau bagi cek terus boleh. Transfer online boleh. QR code pun boleh? Nampak sangat nak publisiti daripada membantu dengan ikhlas.

“YB adun kat tempat aku elok je bagi sumbangan peribadi dia kat PIBG sekolah walaupun tak datang masuk sekolah, zaman sekarang ni bank-in je.

“Orang tu mesej minta bantuan boleh pula dia kongsi dekat umum. Itu PIBG minta derma bukan pihak sekolah, memang tugas dia minta bantuan dengan siapa sahaja,” antara komen pengguna X.

Sebelum ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan tiada halangan untuk ahli polotik mengadakan atau menyertai program di kawasan sekolah.

Namun mereka perlu membuat permohonan dan mengikut tatacara Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 4 Tahun 2023.

Baca juga: Data dedah individu bukan penerima STR paling ramai liat bayar PTPTN