Babak dari sebuah drama popular memaparkan seorang suami yang mengajak bekas isterinya untuk kembali rujuk secara paksaan telah menimbulkan perbincangan hangat di media sosial, baru-baru ini.
Mana tidaknya, lakonan yang ditampilkan di dalam drama itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada penonton malah turut membuatkan mereka tertanya- tanya mengenai hukum sebenar situasi tersebut.
Tampil memberikan penjelasan, pendakwah bebas yang dikenali sebagai Ustaz Izmir Fareez berkongsi pandangan mengenai hukum rujuk secara paksaan sama ada sah dari segi agama atau sebaliknya.
Ustaz Izmir dalam satu rakaman dikongsikan di platform TikTok berkata bahawa lafaz rujuk itu adalah milik suami sebagaimana hak mereka untuk melafazkan talak kepada isteri.
“Dalam Islam, rujuk itu adalah milik suami sebagaimana lafaz talak. Suami yang melafazkan talak, isteri tak boleh. Jadi situasi ini sama jugalah dengan rujuk. Suami yang (memiliki hak) lafazkan.
“Maksudnya suami perlu melafazkan rujuk secara jelas. Di dalam mazhab Imam Syafie, antara lafaz yang disebutkan adalah ‘aku rujuk kau semula.’ Maka jadilah dia sebagai isteri (semula).
“Walau keadaan paksaan atau maksiat pun jadi (sah) juga. Sebab kata Nabi Muhammad SAW, tiga perkara dibuat sama ada secara bersungguh-sungguh atau bergurau ia akan tetap terjadi iaitu nikah, talak dan rujuk,” katanya.
Namun dalam perkongsian yang sama, pendakwah itu turut mengingatkan bahawa suami hanya diberi kuasa untuk melafazkan talak sebanyak tiga kali manakala rujuk hanya dua kali di dalam tempoh iddah.
Manakala sang isteri yang merasa terpaksa untuk kembali rujuk dengan bekas suami boleh menuntut fasakh atau khuluk di mahkamah syariah sekiranya tidak mahu lagi hidup bersama.
“Talak yang ada pada suami, hanya tiga (kali lafaz) sahaja. Manakala lafaz rujuk pula ada dua. Jadinya, apabila sudah dijatuhkan tiga (talak) dan dua (rujuk) kali itu, maka telah habislah (tidak boleh kembali bersama).
“Untuk isteri pula apabila sudah kembali rujuk, dia boleh memfailkan perceraian di mahkamah untuk khuluk atau fasakh. Selepas itu kalau cerai dan rujuk semula hingga habis talaknya, mereka tidak boleh kembali bersama.
“Kes ini adalah untuk isteri ketika di dalam iddah sahaja. Jika isteri sudah habis iddah, mana boleh paksa lagi untuk kembali rujuk. Apatah lagi kalau talak tiga sudah dilafazkan.” Jelasnya.
Baca juga: 12 tahun dikebumi, anak terkejut lihat kain kafan arwah ibu masih elok