Semua barang dalam rumah Datuk Seri Vida termasuk empat kereta mewah kena sita, apa dah jadi?

Oleh KIM SYAZIE

Sejak semalam nama usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida menjadi antara topik utama dibincangkan pengguna media sosial selepas beberapa aset mewah miliknya dilaporkan telah disita.

Vida yang diketahui ramai memiliki kekayaan luar biasa, dikatakan gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilangnya yang berjumlah lebih RM1 juta atau angka tepatnya RM1,060,285.

Menurut laporan media tempatan, antara harta yang disita termasuklah barangan rumah yang tidak diberitahu barangan apa, dan empat kenderaan mewah.

Akhbar tempatan berbahasa Inggeris melaporkan, usahawan Qu Puteh itu gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kilangnya di Shah Alam, Selangor, yang dijadikan sebuah studio pada tahun 2018.

Berikutan itu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah penyitaan semalam.

Peguam, Samir Zainal berkata semua barang di dalam rumah kecuali bilik Vida yang berkunci sudah disita selepas hampir empat jam.

“Beliau (Vida) mempunyai dua minggu sehingga 9 Disember ini untuk menjelaskan hutang itu, jika tidak barang-barang disita terbabit akan dilelong,” katanya.

Samir berkata, pihaknya dimaklumkan oleh kakitangan Vida bahawa usahawan terbabit kini berada di China dan akan menghubunginya dalam masa terdekat.

Baca juga: Sah ke kalau suami ajak bekas isteri rujuk semula secara paksaan? Ini penjelasan Ustaz Izmir