Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida akhirnya membuka mulut mengenai kontroversi membabitkan empat kereta mewah dan barangan dalam rumah miliknya yang disita akibat gagal membayar hutang melebihi RM1 juta.
Menerusi satu hantaran yang dimuat di akaun Instagram miliknya pada Isnin, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman mengakui sudah melantik peguam berhubung isu tersebut.
Difahamkan, peguam berkenaan ditugaskan untuk menasihati dan membantu usahawan berusia 35 tahun itu bagi menyelesaikan isu berbangkit mengikut lunas undang-undang.
“Saya ingin memaklumkan (bahawa) saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan.
“Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik dan mengikut lunas undang-undang,” kata Vida dalam hantaran itu.
Dalam hantaran sama, ahli perniagaan yang kini berada di China itu turut memberikan ucapan terima kasih kepada orang ramai di atas keprihatinan serta sokongan mereka terhadap isu tular tersebut.
Namun personaliti kontroversi yang lebih mesra disapa sebagai DSV itu berharap supaya dapat diberikan ruang bagi menyelesaikan masalah dihadapinya dengan tenang dan profesional.
Sementara itu, anak kepada Datuk Seri Vida iaitu Cik B terlebih dahulu memuat naik kenyataan menerusi satu hantaran di Instagram Story susulan gemparnya isu sitaan melibatkan beberapa aset milik ibunya.
Kelihatan begitu tenang ketika berdepan dengan situasi itu, gadis berusia 19 tahun terbabit meminta supaya orang ramai dapat bersabar dan tidak terlalu bimbang dengan masalah tersebut.
“Kamu semua bersabarlah fasal yang kena sita itu. Insya-Allah semua akan okay,” ujarnya menerusi hantaran yang berlatar belakangkan makanan seakan menggambarkan keadaan dirinya dalam keadaan tenang.
Terdahulu, Vida dilaporkan gagal membuat bayaran baki tunggakan kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan Ah Design Communication sebanyak RM 1,060,285 pada tahun 2018.
Syarikat berkenaan dikatakan telah bekerjasama dengan Datuk Seri Vida untuk melakukan pengubahsuaian dalam bangunan pejabat selebriti itu, Vida All Star Studio di Elite Industrial Park Seksyen 33, Shah Alam, Selangor.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian membenarkan permohonan syarikat berkenaan untuk menyita barangan dalam kediaman usahawan terbabit bertujuan untuk membayar tuntutan hutang.
Pihak plaintif, peguam dan Bailif Mahkamah Tinggi Ipoh kemudian mendatangi banglo mewah milik Datuk Seri Vida yang terletak di Meru, Perak pada pagi Isnin untuk melakukan proses sitaan barangan.
Beberapa kenderaan termasuklah sebuah kereta polis bersama dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh juga mula berada di hadapan banglo mewah itu kira-kira pada pukul 9 pagi.
Peguam yang mewakili syarikat kontraktor pembinaan itu iaitu Samir Zainal memaklumkan bahawa pihaknya telah menyita empat buah kereta mewah iaitu dua buah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7.
Bukan itu sahaja, televisyen jenama Samsung bersaiz 100 inci, televisyen Samsung 85 inci, permainan konsol, set alat muzik, sofa sebanyak 10 unit dan piano berjenama Kawai turut disita ketika kejadian.
Mereka juga menyita almari sebanyak lapan unit, pasu bunga sebanyak 30 unit, penghawa dingin 15 unit, lukisan eksklusif sebanyak enam unit dan lampu hiasan chandelier.
Kesemua barangan itu bagaimanapun tidak dibenarkan dibawa keluar dan satu acara lelongan bakal diadakan pada 9 Disember depan sekiranya hutang tersebut tidak berjaya dijelaskan.
Baca juga: Tak suka ikut trend, Aina Abdul anggap diri belum terima wahyu untuk tukar genre lagu