Seorang pelajar berbangsa Melayu yang bersekolah di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mencuri perhatian pengguna media sosial selepas berjaya membolot pelbagai anugerah cemerlang.
Detik gembira itu dirakamkan kakaknya sewaktu hari kecemerlangan pelajar baru-baru ini yang terletak di George Town.
Dalam rakaman tular tersebut, pelajar tingkatan 5 itu meraih 5 anugerah serentak termasuk dinobatkan sebagai tokoh pelajar cemerlang.
Dia meraih anugerah sebagai Timbalan Ketua Pengawas, anugerah nombor satu di dalam kelas, anugerah nombor satu dalam keseluruhan tingkatan 5, anugerah mata pelajaran terbaik dan tokoh pelajar cemerlang SMJK Heng Ee.
Kejayaan pelajar bernama Ahmad Khidir itu membuatkan ramai kagum kerana mengetahui agak mencabar bersaing dalam SJKC lebih-lebih lagi untuk seorang anak Melayu belajar bahasa Mandarin dan bersaing dengan pelajar Cina yang lain.
Tidak kurang juga ramai terharu dan mengidolakan disiplin yang diterap oleh ibu bapa pelajar berkenaan sehingga membolehkan dia mengecap kejayaan luar biasa.
Selain itu, ramai yang menyentuh soal PIBG di sekolah itu yang dianggap paling bagus dalam menyumbangkan dana, memudahkan pihak sekolah menganjurkan pelbagai program pendidikan buat pelajar .
“Saya pertama kali posting dekat sekolah ini. Memang hebat sekolah n PIBG sekolah ni. Duit PIBG banyak,” kata salah seorang bekas guru.
“Alhamdulillah dan tahniah, semoga terus maju jaya Ahmad Khidir,” titip rata-rata pengguna TikTok.
Baca juga: Risau santan kotak cepat basi lepas buka? Guna teknik simpanan ni, baru tahan lama!