Pakar kewangan dedah ramai nak keluar KWSP sebab takut tak hidup lama

Oleh KIM SYAZIE

Pakar kewangan mendapati ada segelintir pihak yang bukan tergolong dalam kumpulan terdesak, namun masih mahukan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kebanyakan mereka juga mempunyai ‘mindset’ mahu merasa duit KWSP sebelum tua kerana tidak tahu sampai bila akan hidup.

Awal Januari tahun lalu, Afyan Mat Rawi seperti dilapor Kosmo! berkata, penyelesaian masalah menggunakan KWSP hanyalah umpama pil penahan sakit, tetapi ia tidak menyelesaikan akar masalah sebenar iaitu literasi kewangan.

“Jika situasi itu disebabkan pengeluaran untuk tujuan benar-benar terdesak, dapat kita fahami.

“Tapi malangnya ramai juga yang buat pengeluaran dengan mindset, bila lagi nak merasa duit KWSP. Kalau tunggu umur bersara, belum tentu hidup”, katanya.

Mengulas cadangan menjadikan wang KWSP sebagai cagaran untuk berhutang dengan bank, Afyan mengumpamakan hal itu seperti gali lubang, kemudian tutup lubang.

Katanya, ia hanya akan me­nguntungkan bank dan wang KWSP lebih baik kekal di instrumen itu berbanding dikeluarkan untuk tujuan yang tidak terdesak

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak melihat keputusan untuk membenarkan pengeluaran KWSP buat masa ini adalah yang terbaik kerana majoriti pencarum mempunyai simpanan terlalu sedikit.

Dalam statistik setakat tahun lepas, KWSP memaklumkan, seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang RM10,000 dalam akaun mereka.

Baca juga: Bekas arkitek jual nasi kerabu di Kota London, berjaya raih pendapatan lebih RM2 juta setahun!