Bukan senang untuk menyandang gelaran Biduanita Negara namun segala pencapaian dan usaha keras sejak remaja akhirnya membuahkan hasil.
Baru sahaja menerima gelaran Biduanita Negara, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui dirinya segan untuk bawa gelaran sebesar itu lapor Kosmo.
Jelasnya dia lebih selesa dipanggil Siti Nurhaliza, mengakui dirinya masih individu yang sama dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu dan penghibur.
“Segan sebenarnya dengan gelaran Biduanita, panggil sahaja Siti macam biasa.
“Saya tetap Siti Nurhaliza yang balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu.
“Dalam masa sama, saya juga masih menjual barang di TikTok kerana itu tanggungjawab,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Meskipun segan, Siti akui bersyukur dengan gelaran diberikan, penyanyi lagu ‘Sejarah’ itu tidak pernah mengharap untuk diberikan pengiktirafan sebesar ini.
“Bagi saya anugerah akan datang dengan sendirinya apabila kita bekerja keras. Bukan tidak menghargai watikah diberikan, saya bersyukur dan ini satu penghormatan yang besar.
“Tak terlintas pun akan diberikan pengiktirafan sebesar ini kerana saya lebih utamakan kepuasan peminat, hati saya senang jika melihat peminat berpuas hati dan terhibur,” tambahnya.
Dalam pada itu, Siti tak melepas peluang untuk menitipkan nasihat buat penyanyi muda untuk teruskan bermimpi dan berusaha hingga mimpi itu menjadi kenyataan.
“Bermimpilah kerana setiap orang berhak untuk bermimpi dan berangan-angan. Selain bermimpi mengadakan konsert dia Royal Albert Hall, saya juga pernah berangan mengadakah konsert sebelum usia 19 tahun dan cita-cita itu jadi menyata.
“Anak muda atau artis yang ingin mengejar mimpi setinggi manapun perlu datang bersama usaha.
“Jangan mudah merasa puas atau merasa bagus tetapi sentiasa belajar untuk perbaiki kekurangan.
“Kalau ada artis baharu yang lebih bagus, tidak salah untuk kita belajar dan berkolaborasi dengan mereka,” jelasnya.
Baca juga: Tiada undangan nyanyian, Shima pilih TikTok untuk cari rezeki, cukup buat beli keperluan harian