Seorang pemilik kafe tidak pernah menyangka kehadiran pelawak terkenal, Zizan Razak ke premis miliknya boleh membantu menyelamatkan perniagaannya yang hampir gulung tikar.
Tampil berkongsi cerita, pemilik kafe dalam satu hantaran di platform TikTok mengakui premis tersebut tidak pernah menerima pelanggan yang ramai sejak mula beroperasi dua tahun lalu.
Hal ini membuatkan pemilik terbabit pernah terfikir untuk menutup kafe kerana tidak mampu menampung kos dan hutang namun tetap berusaha mempertahankan perniagaannya meskipun simpanan hampir licin.
“Allah tak suka hambaNya yang cepat berputus asa. Kami terus bertahan walaupun simpanan hampir habis sebab banyak kos yang tak lepas untuk ditanggung. Ngeri tahun 2024 untuk peniaga kecil macam kami.
“Dalam buntu bagaimana nak naikkan jualan, kami terfikir untuk cuba buat menu stik daging termasuk ‘Tomahawk’ termurah namun kualiti bagus. Doa tanpa putus mohon Allah bimbing kami.
“Kami mula hari PERTAMA cuba menjual menu ini pada tarikh 19 Nov 2024 baru-baru ini. Namun pada hari kedua kami tidak sangka, ZIZAN RAZAK artis pertama yang sudi bawa keluarganya datang sini,” katanya.
Kehadiran Zizan bagaikan ‘hero’ penyelamat apabila kafe miliknya mula dibanjiri pelanggan dengan mendadak selepas penularan video pelawak berkenaan menikmati hidangan di premis perniagaannya di aplikasi TikTok.
Jelasnya, kehadiran Zizan bukanlah atas undangan untuk membuat promosi ataupun ulasan makanan sebaliknya pelawak itu datang sebagai pelanggan biasa yang tertarik dengan kafe tersebut selepas melihatnya di TikTok.
Memandangkan premis miliknya kini dibanjiri pelanggan dengan mendadak, pengusaha itu memohon maaf atas kelemahan dalam perkhidmatan yang diberikan kerana kekurangan tenaga pekerja.
Pemilik berkenaan berjanji akan berusaha mencari jalan untuk menambah baik servis mereka selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai kerana sudi menyokong kafe tersebut.
“Zizan kata nak cuba sebab tengok dari TikTok. Kebetulan kami ada jemput Shahir iaitu pempengaruh untuk buat ulasan. Dari situ orang mula tahu kafe ini ada jual stik dan Tomahawk.
“Masya-Allah selepas kami mengambil video Zizan di atas izin beliau dan muat naik di TikTok, dengan izin ALLAH ia tular. Berderulah pelanggan masuk. Kami jadi sesak nafas, terkejut. Terpaksa angkut anak-anak yang sekolah rendah tolong jaga kaunter.
“Anak seorang lagi jaga bahagian dalam. Manalah nak cari pekerja waktu itu terus? Nak menangis, gembira juga ada sebab terlalu ramai. Sedih jugalah sebab servis kami teruk. Dapat makian, pelanggan marah,” kongsinya.
Mengakui kesilapannya, situasi itu tidak melemahkan pemilik untuk berusaha memperbaiki pengurusan dan berharap pelanggan tidak serik untuk hadir ke premis berkenaan.
“Mohon maaf lagi sekali kepada semuanya yang datang dari pelbagai tempat, jauh dan dekat . Semoga tidak serik untuk terus mengunjungi cafe kami. Siru ‘ala Barakatillah (Bergeraklah dengan diiringi keberkatan dari Allah SWT).” Ujarnya.
Baca juga: Pakar kewangan dedah ramai nak keluar KWSP sebab takut tak hidup lama