Penyanyi, Aweera kembali menjadi sorotan peminat baru-baru ini selepas memuat naik gambar menampilkan imej terbaharu tanpa rambut kembangnya yang sudah menjadi ‘trademark‘ sejak menganggotai kumpulan Mojo pada 2012.
Aweera menerusi satu hantaran di platform media sosial Instagram berkongsikan satu gambar dipercayai selepas memotong pendek rambutnya dan turut meluruskannya untuk kelihatan lebih kemas.
Pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Norhissham itu turut mengenakan kaca mata hitam di dalam gambar tersebut sekali gus menambah nilai estetik kepada imej baharunya itu.
“Imej baharu, gaya baharu, suasana baharu yang positif, karakter baharu, jiwa baharu, harapan baharu dan Aweera yang baharu (NeWeera). Rock on!,” tulis penyanyi berusia 32 tahun itu di ruangan kapsyen.
Dalam hantaran yang sama, penyanyi berkenaan juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak salun rambut kerana telah berjaya mengubah penampilannya.
Tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut mendapati rata-rata pengguna memberikan respon positif dengan memuji imej baharu ditampilkan penyanyi yang berasal dari Utan Aji, Perlis itu.
Ramai juga pengguna berkongsikan pendapat bahawa pelantun lagu Andai Ku Bercinta Lagi itu kelihatan lebih segar dan muda dengan imej baharunya malah peminat turut mengakui ‘cair’ melihat ketampanan penyanyi berkenaan.
Baca juga: “Panggil sahaja Siti macam biasa” – Siti Nurhaliza akui segan dipanggil Biduanita Negara