Rumah dilanda banjir, lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika tutup suis mesin basuh

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang lelaki dilaporkan maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mematikan suis mesin basuh di rumahnya awal pagi tadi di Kampung Banir Belikong, Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Difahamkan, mangsa berusia 33 tahun terbabit terkena renjatan elektrik kira-kira pada pukul 4.57 pagi sebelum terjatuh ke sungai di hadapan rumahnya yang sudah dilanda banjir.

Mangsa dikatakan mahu menutup suis mesin basuh yang juga berada di hadapan rumahnya dan sewaktu kejadian, arus di sekitar kediaman tersebut sudah berada di dalam keadaan deras.

Lebih memburukkan keadaan, kediaman mangsa yang terletak bersebelahan sahaja dengan lokasi sungai itu juga turut berada di kawasan rendah seterusnya mudah dinaiki banjir, lapor Berita Harian.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.57 pagi sebelum segera bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, mayat mangsa yang dibawa arus itu akhirnya ditemui pada pukul 5.30 pagi dalam keadaan tersangkut di pokok bunga terletak beberapa meter daripada lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh. Operasi tamat jam 5.34 pagi,” kata jurucakap berkenaan ketika dihubungi pihak media memetik laporan Berita Harian.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan daerah di Kelantan yang dilanda banjir setakat ini adalah Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

Sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pasir Puteh, masing-masing sembilan di Kota Bharu dan Kuala Krai, Tanah Merah (lapan), Pasir Mas (tujuh), Machang (lima), Bachok serta Jeli (empat) selain dua PPS di Tumpat.

Baca juga: Suami sanggup lafazkan cerai taklik, berkeras tak nak isteri berhenti kerja, rupanya takut kena tanggung keluarga