Peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza sanggup membeli iklan khas di papan iklan digital Bukit Bintang untuk membuat ucapan tahniah kepada penyanyi itu yang baru-baru ini mendapat gelaran Biduanita Negara.
Menurut Harian Metro, kelab peminat yang dipanggil Sitizoner itu membuat kutipan sumbangan dalam kalangan mereka bagi merealisasikan rancangan projek iklan itu.
Salah seorang daripada mereka bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kos yang dibayar, mengatakan ianya “biarlah rahsia”.
“Ia dibeli oleh Sitizoner sendiri dan ini adalah inisiatif peminat, khas untuknya dan lebih 40 Sitizoner yang terbabit,” katanya seperti dilapor.
Sepanjang dua hari dipasang di lokasi itu, iklan itu diputarkan sebanyak 40 kali.
Durasi dipasang di papan iklan itu adalah pada 23 dan 24 November dan dipasang bermula 12 tengah hari sehingga 1.40 tengah hari sebanyak 40 kali putaran dalam sehari.
Terdahulu, Siti meluahkan rasa teruja dan terharu dengan inisiatif peminat-peminatnya yang memberikan kejutan dengan membeli iklan di papan iklan digital itu.
Menerusi video dimuat naik di TikTok, ramai terharu penyanyi nombor satu negara itu sanggup meluangkan masa ke Bukit Bintang untuk melihat sendiri papan iklan digital yang dibeli oleh peminatnya.
Baca juga: Tak payah susah-susah uli doh, guna roti putih pun boleh nak buat ‘base’ pizza!