Anak gigih cari tangki air, angkut ibu hidap asma untuk redah banjir

Oleh MALAYSIADATELINE

Apabila berada dalam situasi yang mencemaskan maka ramai akan mencuba cara kreatif untuk memastikan ibu bapa selamat.

Dapat dilihat keadaan banjir di Kelantan semakin membimbangkan, dengan cuaca hujan yang tidak berhenti maka air juga semakin tinggi.

Selepas kediaman dinaiki air, seorang pemuda berusaha mencari tangki air polietilena untuk digunakan mengangkut ibunya yang menghidap asma.

Memetik Bernama, kejadian tersebut berlaku di Kampung Sri Kulim, Melor, Kelantan pada Rabu.

Pemuda berusia 33 tahun, Mohammad Shaher Rahalim memaklumkan dia dan beberapa rakan mengambil inisiatif agar dapat mengangkut keluar ibu, Rosliza Ibrahim, 55 tahun.

Ini adalah selepas ibunya mengaku kesejukan akibat rumah mereka dimasuki air sedalam dua meter.

“Ibu menghidap asma sejak 20 tahun lepas dan dia tidak boleh berada dalam keadaan kedinginan.

“Saya berusaha menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bot penyelamat namun selepas menunggu lebih dua jam.

“Melihat keadaan ibu semakin serius, saya serta rakan mencari ikhtiar bagi membawanya keluar,” katanya seperti dipetik Bernama.

Sebaik diselamatkan, dia berjumpa dengan adik perempuannya sementara menunggu bapanya yang dibawa keluar dengan bot penyelamat Jabatan Pertahanan Awam.

Dalam pada itu Mohamad Shaher memaklumkan ibu bapanya sudah dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor.

Namun mereka masih tidak dapat mendaftar kerana jumlah mangsa banjir sudah terlalu ramai di PPS tersebut.

“Kami kemudian memutuskan untuk membawa ibu bapa ke rumah saya di Kampung Alor Bakat bagi membolehkan mereka berehat dengan lebih selesa dan kesihatan terjaga,” katanya.

Dia juga bercadang untuk mendaftarkan ibu bapanya di mana-mana PPS berdekatan hari ini.

Baca juga: Rumah dilanda banjir, lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika tutup suis mesin basuh