Suasana bilik darjah yang sudah dinaiki air tidak menjadi penghalang kepada seorang guru untuk terus mendidik pelajarnya di sebuah sekolah menengah di Pantai Timur.
Menerusi satu rakaman dikongsikan di platform TikTok, guru berkenaan dilihat tidak terjejas dengan suasana di sekelilingnya sebaliknya tetap tekun mengajar muridnya dalam kelas tersebut.
Malah beberapa orang pelajar yang berada di dalam kelas berkenaan juga turut memberikan tumpuan kepada guru mereka meskipun bilik darjah itu sudah dinaiki air hampir mencecah buku lali.
Dalam rakaman berdurasi 13 saat itu, kesemua murid juga tidak kelihatan cemas malah mengikuti sesi pembelajaran dengan baik dan dapat menjawab soalan diberikan oleh guru mereka.
Berdasarkan keterangan yang ditulis dalam perkongsian itu, kejadian terakam dalam video berkenaan difahamkan berlaku di sebuah sekolah menengah terletak di daerah Bachok, Kelantan.
“Mantap Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat. Masa (kelas) dinaiki air pun nampak santai sahaja mengajar,” tulis pengguna TikTok yang memuat naik rakaman tersebut.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna yang merupakan bekas pelajar di sekolah berkenaan mengakui pengetua merangkap guru terbabit sememangnya dikenali dengan sikap rajin dan semangat.
Walau bagaimanapun, ramai juga pengguna meluahkan kerisauan berikutan bimbang melihat persekitaran kelas yang sudah dinaiki air dan berharap keselamatan pelajar dan guru dalam rakaman tersebut tetap terjaga.
Setakat ini, jumlah mangsa banjir di Kelantan dilaporkan meningkat kepada seramai 29,023 berbanding 21,568 yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam semalam.
Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jajahan Pasir Mas telah mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 11,698 di 40 PPS, diikuti Tanah Merah seramai 3,224 (22 PPS) dan Kuala Krai sebanyak 2,826 (25 PPS).
Kawasan Pasir Puteh pula membabitkan 2,757 mangsa di 16 PPS, Tumpat seramai 2,405 (7 PPS), Kota Bharu 2,157 mangsa (17 PPS), Bachok menempatkan 1,433 orang (6 PPS), Machang seramai 1,750 (12 PPS) dan di Jeli, 773 mangsa berada di enam PPS.
Baca juga: Anak gigih cari tangki air, angkut ibu hidap asma untuk redah banjir