Nama dipetik isu pelawak nodai gadis di Johor Bahru, respon Tauke curi perhatian netizen

Oleh WAN SITI AMINAH

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita penangkapan seorang pelawak di Johor Bahru, semalam kerana disyaki merogol gadis berusia 20-an di negeri tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pelawak berusia lingkungan 40-an yang merupakan bekas peserta program realiti komedi popular itu ditahan pada awal pagi semalam.

Pelawak itu juga difahamkan telah dikenakan perintah tahanan reman selama lima hari sehingga Khamis depan sementara siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Susulan penyebaran berita tersebut, timbul satu persoalan mengenai identiti sebenar bekas peserta program stesen televisyen berbayar tempatan yang dikenakan perintah tahanan reman itu.

Pengguna media sosial tempatan kemudian bertindak ‘memetik’ nama beberapa pelawak termasuklah Tauke Jambu walaupun pihak polis belum lagi mendedahkan identiti sebenar pelaku.

Tidak berdiam diri, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria tampil memuat naik beberapa hantaran di akaun media sosial seolah-olah menafikan bahawa dirinya terlibat dengan penangkapan tersebut.

Menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, pelawak berusia 48 tahun itu berkongsi rakaman ketika sedang menikmati minuman di sebuah kafe yang terletak di Kajang, Selangor.

Kemudian di dalam hantaran berikutnya, Tauke berkongsi satu lagi rakaman melakonkan semula salah satu babak di dalam drama Tiga Abdul ketika pemain watak Ismet Ulam Raja menerima banyak panggilan dalam satu masa.

@taukejambu77

AHAD ni di wisma Al ULUM KAJANG JAM 3 PETANG aplikasi selesai masalah kewangan!!! bentuk diri bentuk keluarga..@Al Ulum iMart & Cafe

♬ original sound – taukejambu77 – taukejambu77

Babak di dalam drama itu seakan-akan membayangkan situasi sebenar yang menimpa Tauke Jambu setiap kali munculnya isu mahupun berita negatif melibatkan pelawak tanah air.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna memberikan sokongan kepada Tauke dan ada juga yang meminta maaf kerana telah menuduhnya terlibat dalam kes tersebut.

Ramai juga pengguna tampil untuk mengingatkan orang ramai supaya berhenti membuat tuduhan melulu tanpa sebarang bukti kerana dikhuatiri dakwaan mereka boleh jatuh fitnah.

“Bukan dialah. Lain kali janganlah hangpa (kamu semua) main petik nama bukan-bukan. Kalau sudah jatuh fitnah, macam mana nak cari tuan punya badan untuk meminta ampun,” kata seorang pengguna.

“Banyak bersabar, Tauke. Jangan menggelabah. Mulut manusia memang begitu.” Komen pengguna lain memberikan semangat kepada pelawak berkenaan.

Sekadar info, pelawak yang kini ditahan reman kerana disyaki merogol itu dikatakan pernah terlibat di dalam beberapa program di negeri Johor sebagai pengacara majlis.

Perintah reman terhadap suspek berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Muhammad Fitri Mokhtar.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Baca juga: Bekas peserta program realiti komedi popular direman 5 hari, disyaki rogol gadis di Johor Bahru