Ini 5 kereta dengan reka bentuk unik, nombor 4 pernah popular dekat Malaysia!

Oleh MAISARAH AISYA

Setiap kenderaan pastinya ada reka bentuk tersendiri untuk menarik minat para pembeli terutamanya jika ada yang unik.

Namun lima kenderaan dalam senarai ini adalah lebih ke arah pelik daripada unik dek kerana reka bentuk yang sukar difahami.

Berikut adalah lima kenderaan yang popular dan sering dikatakan hodoh, walaupun ada peminatnya sendiri menurut Gemilang Daily.

1 Proton Juara

Rakyat Malaysia memang kreatif dalam mengkritik rekaan salah satu model keluaran Proton yang paling membingungkan iaitu Proton Juara.

Bentuknya yang agak aneh berbanding model van lain mengundang kritikan sehinggakan ada yang menggelarnya ‘mesin basuh bergerak.’

Dibangunkan dengan kerjasama syarikat Mitsubishi dari Jepun berasaskan model mini-van Mitusbishi Town Box, rakyat Malaysia sukar untuk menerima keunikan rekaannya.

Hanya dikeluarkan selama tiga tahun sebelum dihentikan, pemilik model ini jelas berpuas hati dengan ruang dalamannya yang luas, rekaan praktikal serta kendaliannya yang baik.

Bagaimanapun, penggantinya Proton Exora jelas serba-serbi lebih baik dalam segala aspek termasuklah mempunyai rekaan yang lebih mesra mata.

2 Renault/Fiat Multipla

Dijual dalam pasaran luar sebagai Fiat Multipla dan di Malaysia di bawah jenama Renault, Multipla merupakan antara kereta paling aneh bentuknya pernah dikeluarkan mana-mana pengeluar automotif.

Rupanya ibarat sebuah van dan kereta yang dicantumkan, apatah lagi reka bentuknya aneh menggabungkan gabungan bentuk geometrik yang agak gemuk dan langsing.

Bagaimanapun rekaan aneh membawa kepada satu kelebihan yang jarang ada dalam kereta lain – Multipla sangat praktikal.

Ruangan dalaman yang luas membolehkan 6 penumpang duduk di atas kerusi bersaiz penuh. Tingkap depan yang luas memberikan pemandangan memandu yang cukup baik.

Keunikan ini membolehkan Multipla memenangi anugerah kereta penumpang terbaik dan dalam masa sama, juga bergelar kereta paling buruk Top Gear Eropah bagi tahun 2000.

Rekaan ini kekal dikeluarkan sehingga tahun 2011 sebelum dihentikan pengeluarannya.

3 Smart Fortwo

Dibina sebagai model kenderaan yang mudah untuk dipandu dan diselenggara, Smart Fortwo merupakan antara kereta mini berharga tinggi dua penumpang yang pernah dijual di negara kita.

Sangat praktikal kerana mudah dipandu dan diparkir serta jimat minyak, model ini bagaimanapun mempunyai rekaan yang sukar menambat citarasa peminat Malaysia.

Diperkenalkan sekitar 2011, rupanya dikritik sebagai lucu serta tidak praktikal bagi pasaran kita, mengakibatkan jualannya tidak menepati jangkaan.

Bagaimanapun, reka bentuk aneh itu sebenarnya mempunyai banyak ciri keselamatan yang baik khasnya ketahanan casisnya yang mampu menyerap impak dengan baik.

Penambahbaikan ke atas model ini khasnya melibatkan bentuknya masih berjalan melalui varian terbaru.

Kini pembangunannya diteruskan oleh Mercedes-Benz dengan kerjasama syarikat Geely dari China, memfokuskan jenama ‘Smart’ sebagai pengeluar khusus kereta elektrik bersaiz kompak.

4 Hyundai Matrix

Masih ditemui di atas jalan raya kita, Hyundai atau Inokom Matrix merupakan antara model yang ketara direka untuk golongan mak-mak atau bapa-bapa mengangkut anak ke sekolah.

Ini jauh berbeza dengan identiti syarikat rekaannya iaitu Pininfarina dari Itali, yang sinonim dengan jenama kereta eksotik seperti Ferrari.

Bagaimanapun, bagi mereka yang pernah memiliki kenderaan ini, pasti anda sayang model ini kan?

Rekaannya yang gempal, menyembunyikan banyak sifat-sifat praktikal yang ada. Cermin pandang depannya luas.

Ruang dalamannya tidak menyesakkan serta mampu membawa lima orang dengan selesa. Ruangan bagasinya juga mampu membolehkan sekeluarga pulang ke kampung tanpa risau.

Kenderaan ini juga menawarkan ruangan-ruangan cawan, cangkuk dan ruangan simpanan yang banyak, praktikal dan berguna.

Di belakang tempat duduknya juga ada talam makanan, memudahkan anda makan dan minum ketika dipandu ke mana-mana.

5 Ssangyong Stavic

Sebelum kenderaan keluaran jenama Korea Selatan menjalani revolusi rekaan lebih moden dapat diterjemahkan dalam kereta mereka, peminat automotif Malaysia perlu melalui zaman di mana syarikat automotif Korea Selatan masih sedang bertatih mencari identiti.

Tidak ada identiti yang kuat dapat ditonjolkan oleh pengeluar kereta Korea Selatan, baik Hyundai, KIA dan khususnya SsangYong melalui model Stavic.

Ini menjadikan ia antara indikator kecelaruan rekaan dari Korea Selatan zaman tersebut, dengan rekabentuk aneh baik di bahagian belakang atau di depan.

Generasi pertama kereta ini dikeluarkan pada tahun 2004, datang dengan rekaan depan yang kurang diminati serta bahagian belakang yang kurang seimbang di antara palang dengan cermin, mengundang kritikan peminat.

Bagaimanapun jualannya banyak dibantu oleh pemilihan enjin keluaran Mercedes-Benz yang menjadi tarikan utama model ini.

Rekaan itu kekal untuk beberapa tahun kecuali beberapa perubahan pada bahagian depannya diperkenalkan, digantikan dengan rekaan lebih senonoh.

Hanya pada tahun 2012, Ssangyong memperkenalkan semula Stavic versi baru dengan rekaan lebih segar pada mata serta memperbaiki beberapa kelemahan yang menjadi kritikan sebelum itu.

Walaupun demikian, jualan model ini kekal lembap memaksa Ssangyong menghentikan produksi model tersebut sepenuhnya pada tahun 2019.

Baca juga: Banjir: KTMB batal beberapa perkhidmatan tren ke Pantai Timur, ini laluan yang terlibat