Ucapan graduan UniKL buat Opah ketika hari graduasinya undang sebak

Oleh KIM SYAZIE

Ucapan seorang graduan Universiti Kuala Lumpur ketika hari graduasinya baru-baru ini yang mendedikasikan penghargaan kepada opahnya menyentuh hati ramai.

Dalam satu video dimuat naik @uniklofficialpage, graduan yang bernama Mohamad Solehin Zulkarnain sedang memberi ucapan di atas pentas selepas dinobatkan graduan terbaik UniKL.

Dia yang ketika itu menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih buat atuk dan nenek yang telah membesarkannya.

Ucapannya membuatkan opah yang berada di dalam dewan tidak dapat menahan rasa sedih dan menangis teresak-esak.

“Assalamualaikum buat opah dan keluarga tercinta. Terima kasih atas segala pengorbanan opah, arwah atuk dan keluarga yang membesarkan serta mendidik adik dan abang sehingga kami dewasa dan berjaya.

“Kejayaan ini bukanlah kejayaan adik, tetapi ianya adalah kejayaan kita semua. Kalau arwah atuk masih ada, pasti dialah yang paling gembira.

“Buat opah, inilah hadiah yang paling berharga yang adik mampu berikan bersempena dengan ulang tahun opah yang ke-78 tahun bulan ini,” ucapnya sambil diiringi air mata.

Difahamkan, ibu bapa Muhamad Solehin telah bercerai sejak dia berumur tiga bulan dan menjadi anak yatim piatu ketika dia sedang belajar di universiti.

Dia kemudian dibesarkan oleh opah dan arwah atuknya dengan bantuan ahli keluarga lain.

Menurutnya, ahli keluarga yang lain berkorban untuknya selepas dia kehilangan ibu bapa dan berterima kasih atas kasih sayang dan didikan yang diberi.

Video ucapannya itu mendapat perhatian ramai dengan rata-rata memberi semangat kepada Mohamad Solehin untuk terus melebarkan sayap dan berbakti semula kepada mereka yang telah menjaganya.

Mereka juga berbangga kerana bukan senang untuk seseorang mendapat peluang berucap di majlis konvokesyen yang terhormat.

Baca juga: Rakyat Malaysia sendiri terkejut lihat wang kertas terbesar di dunia! Tak sangka ada duit RM600 sekeping