Harga jualan Beras Putih Import di pintu gudang akan dikurangkan daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa 1 Disember ini.
Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bersetuju untuk menurunkan harga jualan Beras Putih Import berkuatkuasa 1 Disember ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad berkata, BERNAS bersetuju untuk menurunkan harga jualan Beras Putih Import di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik.
Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan BERNAS baru-baru ini.
“Penurunan harga ini adalah selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran Ringgit Malaysia berbanding dollar Amerika.
“Kerajaan optimis inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menteri berkata, pihaknya akan meneruskan perbincangan dengan semua pemegang taruh berkaitan bagi memperhalusi pelan tindakan jangka panjang mengenai struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.
Ini katanya bagi memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang dan seterusnya dapat menjaga kebajikan pesawah serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.
“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.
Baca juga: Syura rasa beruntung dapat suami bertanggungjawab, masih fikir cari rezeki walau dalam kesakitan