Akaun Facebook milik peguam dan aktivis terkenal, Asiah Abd Jalil kembali mencuri tumpuan baru-baru ini susulan membuat pendedahan demi pendedahan tentang suami beristeri tiga yang menjadi bualan ramai belakangan ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di platform tersebut, Asiah mendakwa perkahwinan poligami lelaki berkenaan melibatkan isteri kedua dan ketiganya sebenarnya tidak mendapat restu daripada wali dan keluarga.
Lebih mengejutkan, peguam itu mendedahkan bahawa isteri kedua lelaki terbabit dikatakan sanggup terjun dari balkoni rumah setelah hubungannya dengan suami orang mendapat tentangan keluarga.
“Nampak tak, pengantin perempuan berkerusi roda (isteri kedua) semasa akad nikah? Kisahnya, dia terjun dari balkoni rumah, nak larikan diri selepas keluarga menghalang perkahwinan ini. Sebelum itu, dia sudah lari dari rumah selama 4 bulan.
“Sanggup buang keluarga demi cinta. Di mana dia kenal lelaki ini? Pada mulanya dia bekerja di kedai komputer milik lelaki ini. Kemudian terjebak dalam cinta. Sanggup bermadu dan rela berkhidmat untuk isteri pertama. Keluarga sudah berusaha sehabis daya untuk menghalang.
“Lelaki ini buat laporan polis mengatakan perempuan ini didera keluarga. Polis datang serbu rumah. Perempuan ini berjaya lari kembali kepada kekasih hati. Nampak tak, ayah pengantin perempuan terpaksa hadir menjadi wali?,” kata Asiah Jalil dalam satu hantaran.
Menurut Asiah dalam hantaran yang sama, bapa kepada isteri kedua akhirnya terpaksa mewalikan anaknya selepas diperintah oleh Mahkamah Syariah susulan suaminya memfailkan permohonan wali enggan.
Oleh yang demikian, peguam berkenaan berharap supaya masyarakat terutama pengguna media sosial tempatan untuk berfikir terlebih dahulu sebelum menjadikan lelaki berkenaan sebagai ikon poligami harmoni.
“Nampak tak, ibu dan adik-beradik serta ahli keluarga pengantin perempuan tidak hadir semasa akad nikah (isteri kedua)? Kisahnya, mereka sejak dari awal lagi memang tidak bersetuju dan menentang perkahwinan poligami sebegini,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu hantaran di platform Facebook dari seorang suami yang berkongsikan kegembiraan kerana perkahwinan ketiganya mendapat restu dari kedua-dua isteri malah mereka turut membantu dalam persiapan majlis.
Susulan penularan perkongsian itu, Asiah tampil memuat naik hantaran balas dengan membongkar kisah sebenar di belakang tabir mengenai perkahwinan poligami lelaki terbabit sebagai kesedaran kepada orang ramai.
“Isteri pertama ada tiga orang anak, rela bermadu. Isteri kedua dinikahi pada tahun 2021. TANPA RESTU daripada wali dan keluarga, Sebelum bernikah, isteri kedua lari dari rumah. Berbulan-bulan tanpa khabar berita. Isteri kedua kini sedang hamil.
“Isteri ketiga dinikahi di Thailand. TANPA RESTU daripada wali dan keluarga. Pernikahan sudah hampir setahun. Majlis perkahwinan isteri ketiga diadakan baru-baru ini. Sekadar nak tutup cerita pasal kahwin lari di Thailand. Konon isteri-isteri reda dan sokong bermadu tiga.
“Isteri pertama dan isteri ketiga disuruh tinggal serumah. Isteri kedua tinggal di kedai milik suami. Isteri kedua juga pernah diceraikan. Cerai melalui WhatsApp. Rujuk balik. Isteri kedua pernah dipukul oleh suami dan isteri pertama. Tapi tak berdaya melawan. Demi cinta katanya.” Dedah peguam itu.
Peguam itu juga tidak bersetuju dengan tindakan lelaki berkenaan mengajak orang ramai menyertai persatuan, kursus dan mempromosikan kehidupan poligami walhal perkahwinannya sendiri tunggang-langgang serta bersikap tidak adil kepada isteri terutama isu bermalam.
Baca juga: Suami menikah kali ketiga, isteri pertama dan kedua berganding bahu jayakan majlis